Wednesday, January 30, 2008

Tidak rugi jika bersopan santun

SAYA amat tertarik dengan kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam Utusan Malaysia kelmarin.

Memang tidak dinafikan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh kakitangan sektor awam bertambah baik dari semasa ke semasa.

Namun saya sekadar ingin menegur secara ikhlas kerana masih terdapat individu tertentu yang tidak mesra pelanggan semasa saya berurusan dengan Pejabat Tanah Daerah Gombak baru-baru ini.

Pada hemat saya, jika kita tidak suka dengan tugasan-tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada kita, adalah lebih baik jika kita tidak berada di situ kerana dengan perkhidmatan sambil lewa dan tidak ikhlas yang diberikan akan merosakkan nama baik sesebuah organisasi.
Berilah laluan kepada mereka yang benar-benar berminat dan mahukan pekerjaan memandangkan bilangan penganggur pun semakin bertambah pada masa kini.
Pengalaman berurusan dengan Pejabat Tanah Daerah Gombak baru-baru ini amat mengecewakan saya.

Dalam kerajaan sibuk menaik taraf perkhidmatan kakitangan sektor awam dengan memberi pelbagai kemudahan semoga ia setanding dengan sektor swasta, masih lagi terdapat individu yang melayan pelanggan dengan kasar, marah-marah dan lebih menyakitkan hati meletakkan telefon dengan begitu saja tanpa mendengar sebarang penjelasan.

Saya merasakan sikap sebegini tidak sepatutnya ada pada kakitangan awam lebih-lebih lagi pada mereka yang berurusan terus dengan orang ramai.

Rakyat Malaysia kaya dengan budi bahasa. Tidak rugi rasanya jikalau kita melayan pelanggan dengan penuh sopan santun.

Generasi baru tanpa perokok

INDUSTRI rokok merupakan antara industri paling maju malahan jenama rokok yang diperdagangkan begitu banyak. Masyarakat secara tidak langsung menjadi mangsa industri ini sejak sekian lama hatta ada yang sanggup menjadi ‘hamba’ kepada perkembangan industri rokok ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat kira-kira 1.25 bilion perokok di seluruh dunia. Ini bermakna jumlah ini mewakili sepertiga daripada bilangan penduduk dunia dalam lingkungan 15 tahun ke atas.

Industri rokok telah menjadikan masyarakat kita terjerumus ke kancah kebinasaan mengikut keterangan penagih tegar yang menyatakan bahawa permulaan ketagihan dadah adalah berpunca daripada rokok.

Di peringkat sekolah menengah merupakan langkah pertama bagi ramai perokok di negara kita terutama yang berumur 15 tahun, malahan ada juga yang masih kecil berumur 3 tahun setengah menghisap rokok seperti mana dinyatakan oleh NGO Prihatin Malaysia (Prihatin) pada November 2007.

Persoalannya, adakah kita rakyat Malaysia yang berpegang kepada cogan kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu Cemerlang, Gemilang dan Terbilang untuk melahirkan generasi baru tanpa perokok yang bakal memimpin negara Malaysia pada masa depan?

Punca lahirnya masalah rokok ini tidak lain adalah daripada pengaruh rakan sebaya. Tidak dapat disangkal juga indusri ini telah memperdagangkan rokok kepada wanita dengan mengeluarkan kenyataan bahawa rokok mampu untuk melangsingkan badan dan juga bagi lelaki industri ini mengeluarkan propaganda dalam iklan-iklan bahawa merokok di kalangan lelaki menampakkan lelaki itu gagah dan berstail serta menawan apabila dipandang wanita.

Di peringkat mahasiswa juga, tidak kurang hebatnya sehinggakan mahasiswa berani merokok di fakulti sedangkan ia merupakan tempat yang tidak dibenarkan merokok. Ada pula yang beralasan daripada pandangan mahasiswa ini bahawa merokok mampu untuk menambah idea serta mengurangkan tekanan.

Alasan ini tidak munasabah sama sekali kerana bagi mengurangkan stres adalah dengan mendekatkan diri pada Ilahi, dan selalu bertafakur.

Di Malaysia, terdapat peningkatan kes yang berkaitan dengan merokok seperti kanser dan gangguan kardiovaskular sejak 25 tahun lalu yang telah termaktub dalam buku Halal Haram keluaran Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Pakar sakit tuan, Dr. Ismail Tambi juga menyatakan merokok merupakan penyumbang kepada kes-kes mandul di Malaysia.
Merokok dianggap sebagai punca utama kematian yang boleh dicegah dan dibendung. Kajian saintifik juga menunjukkan asap rokok mengandungi lebih daripda 4,000 bahan beracun seperti arsenik, benzopirena, metoprena, aseton, plumbum dan ammonia.
Walaupun perkara ini diketahui oleh masyarakat umum tetapi mereka yang merokok tidak mempedulikannya.
Banyak dana telah dikeluarkan oleh kerajaan dan juga NGO bagi menyedarkan masyarakat supaya berhenti merokok seperti kempen ‘Tak Nak’ yang jutaan ringgit dilaburkan tetapi tidak juga menampakkan kesan ketara.

Di peringkat sekolah diajar pendidikan jasmani yang menitikberatkan bahawa rokok membahayakan kesihatan. Kerajaan pula terpaksa mensyaratkan pelabelan pada setiap kotak rokok ‘‘Amaran oleh kerajaan Malaysia, merokok membahayakan kesihatan’ tetapi tidak diendahkan oleh masyarakat.

Adalah wajar bagi kerajaan mengawal industri rokok di Malaysia yang mana kos menampung perubatan bagi kes kanser akibat rokok telah meningkat daripada keuntungan negara terhadap industri ini.

Dicadangkan juga agar setiap kotak rokok yang dijual diletakkan gambar jantung atau paru-paru yang rosak serta gambar pesakit kronik akibat merokok seperti yang dibuat di Thailand. Ia sekurang-kurangnya mampu memberi sedikit rasa insaf masyarakat.

Masyarakat memainkan peranan penting agar melahirkan generasi yang tidak merokok supaya kesihatan tubuh badan terjaga dan pembaziran terkawal.

Memahami psikologi kecenderungan remaja

REMAJA merupakan generasi pelapis yang bakal mewarisi negara pada masa depan. Justeru remaja adalah aset penting bagi negara dan perlu diasuh dan dididik agar menjadi insan yang bertanggungjawab dalam memelihara kelangsungan bangsa, agama dan negara.

Dalam membincangkan isu pembangunan modal insan berkaitan golongan remaja, kita tidak dapat lari daripada menyentuh isu pemilihan kecenderungan di kalangan mereka. Kecenderungan di sini merujuk kepada minat, daya usaha dan tumpuan yang diberikan terhadap sesuatu perkara.

Apa ada dengan motor?

Namun timbul persoalan mengapa kedapatan ramai remaja memilih motosikal dan aktiviti yang berkaitan dengan motosikal sebagai minat dan kecenderungan mereka.

Pada dasarnya kegiatan bermotosikal tiada salahnya. Ia berfungsi sebagai alat pengangkutan untuk memudahkan pemiliknya bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Penggunaan motosikal juga menjadi pilihan ramai disebabkan oleh kos untuk memiliki, menggunakan dan membaiki motosikal umumnya adalah jauh lebih murah daripada kenderaan yang lain seperti kereta.

Namun, apabila motosikal dijadikan alat untuk mempamerkan aksi tunggangan yang agresif dan berisiko tinggi maka hal ini bakal berganjak daripada fungsi asas kenderaan tersebut. Dikhuatiri pula kemudaratan akan tertimpa seperti kemalangan yang mungkin juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Apabila remaja dengan minat yang sama terhadap motosikal membentuk satu kumpulan sosial antara sesama mereka maka ia akan turut mencorakkan budaya, fesyen, norma dan aliran pemikiran yang seiras dalam kelompok tersebut.

Apa yang menyedihkan ialah kedapatan pembentukan tingkah laku dan pemikiran di kalangan kumpulan remaja tersebut yang tidak sejajar dengan nilai-nilai keagamaan hatta undang-undang negara.

Gejala lumba haram, pergaulan bebas, dadah, dan jenayah lain yang berlaku di kalangan mereka yang terlibat membuatkan ibu bapa masa kini semakin bimbang dengan persekitaran anak-anak mereka yang sedang membesar.

Kita mungkin boleh melontarkan persoalan asas berkenaan kecenderungan tersebut: Mengapa pula motosikal? Mengapa bukan perkara lain seperti bola sepak? Atau perkara lain?

Pertamanya perlu dijelaskan bahawa kecenderungan remaja umumnya adalah pelbagai; terdapat mereka yang cenderung dalam sukan, keilmuan dan sebagainya.
Namun apa yang menjadikan kita melihat aktiviti bermotosikal sebagai satu fenomena yang melanda golongan remaja adalah kerana kekerapan kita melihat kelompok mereka di mana-mana. Dengan deruman enjin motosikal serta aksi tunggangan yang janggal daripada biasa membuatkan kita menyedari kehadiran mereka di sekitar kita.

Keduanya, hasil pembangunan ekonomi yang dinikmati telah meningkatkan kuasa beli rakyat di negara ini. Motosikal contohnya telah menjadi satu kenderaan yang mampu dimiliki oleh hampir setiap keluarga, apatah lagi bagi mereka yang masih bujang.

Ketiga, kebanyakan remaja memang menggunakan motosikal sebagai alat pengangkutan semata-mata. Namun terdapat sesetengah remaja yang menunggang atau memiliki motosikal mempunyai rasa kebanggaan terhadap kenderaan yang dimiliki. Atau mungkin ada yang teruja dengan kemahiran tersendiri dalam memandu motosikal.

Sebagai remaja, perasaan ingin dihargai dan diterima oleh rakan sebaya adalah sesuatu yang normal. Justeru mereka berasa selesa apabila bersama dengan rakan-rakan dengan minat yang sama. Malah ada yang seronok bersaing sesama sendiri dalam menunjukkan kehebatan pemanduan masing-masing.

Aksi motor

Sesetengah remaja pula, mungkin beranggapan bahawa beraksi dengan motosikal adalah satu-satunya cara untuk melepaskan tekanan perasaan atau beriadah setelah penat bekerja seharian ataupun mengikuti pembelajaran di sekolah.

Dalam situasi ini, kecenderungan remaja tersebut terbentuk melalui persekitarannya yang menyediakan pilihan terhad untuknya beriadah. Sekiranya ada gelanggang atau padang permainan di kawasan tempat tinggal remaja maka remaja tersebut mempunyai pilihan untuk bersukan berbanding aktiviti lain.

Hal ini berbalik pula kepada keadaan persekitaran kawasan perumahan kita dewasa ini yang semakin ketandusan padang permainan dek ditelan projek pembangunan hartanah.
Justeru kita sememangnya mengharapkan pihak berkuasa tempatan dan pemaju hartanah dalam merencana pembangunan supaya tidak mengabaikan keperluan beriadah masyarakat setempat.

Kesimpulan

Remaja sebenarnya adalah golongan yang masih tercari-cari identiti, minat dan potensi diri. Justeru mereka memerlukan medium untuk mencurahkan sepenuh tenaga dan perhatian terhadap perkara yang difikirkan sebagai bersesuaian dengan kecenderungan mereka.

Sekiranya kita dapat menyediakan galakan, bimbingan, peluang dan persekitaran yang kondusif untuk remaja mencurahkan masa dan tenaga terhadap bakat dan kecenderungan yang dimiliki, maka usaha kita mampu mengurangkan peratusan remaja yang terjebak dengan kegiatan yang tidak diingini.

Sunday, January 27, 2008

Kemiskinan punca kanak-kanak hidup terbiar

AHMAD Rosli, 13; Aba Dawan, 11, dan Siti, 10, (bukan nama sebenar) saling tidak mengenali, namun persamaan yang menyatukan tiga kanak-kanak itu ialah label 'anak jalanan' yang dipalit masyarakat walaupun hakikatnya mereka adalah penduduk Sabah warga Malaysia. Kemiskinan keluarga menyebabkan Ahmad dari Kampung Kalansanan, Inanam, dekat Kota Kinabalu, terpaksa melupakan cita-cita untuk menjadi pegawai kebajikan. Kanak-kanak itu tidak pernah bersekolah manakala abangnya, Shafee, 16, dan kakaknya, Siti, 15, hanya belajar sehingga Tahun Enam berikutan tekanan ekonomi keluarga.

Justeru, mereka menghabiskan masa merayau di pekan Inanam atau bandar raya Kota Kinabalu mencari tin aluminium atau besi terbuang untuk dijual kepada pembeli besi buruk. Ketika diminta mengeja namanya, Ahmad selamba menjawab: "Saya tak pernah sekolah. Tak tahu tulis, tak tahu baca. Dulu saya ingat bila bila besar nak jadi pegawai yang tolong orang... apa namanya abang? Orang kebajikan? "Tetapi kami orang miskin. Macam mana saya mahu jadi pegawai besar," katanya sambil mengesat tangan ke baju lusuhnya.

Di bandar Semporna, Aba dan abangnya, Sabri, 12, saban hari melakukan pelbagai pekerjaan termasuk mencuci kenderaan untuk mendapatkan belanja harian. Keinginan untuk bersekolah tidak pernah pudar, namun skripnya tidak jauh berbeza. Kemiskinan menjadi penghalang dan label anak jalanan terus menjadi kudis yang melorongkan perjalanan hidup mereka selaku pekerja bawah umur. Khusyuk memerhatikan buku nota penulis, Aba berkata: "Kadang-kadang saya berhenti di tepi sekolah untuk mendengar murid belajar. Saya pun nak pandai abang, tapi kalau tak sekolah macam mana? "Kawan-kawan di Kampung Bangau-Bangau (Semporna) selalu bercerita pasal cita-cita. Mula-mula saya tak faham tetapi selepas mereka beritahu, saya pun ingin ada cita-cita. Kalau tak sekolah, boleh ke ada cita-cita," katanya.

Siti pula setia menanti pembeli ikan di Pasar Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di tebing laut di Kota Kinabalu dengan menjual beg plastik pada harga 20 sen setiap satu, "Saya pernah pergi sekolah, lepas itu berhenti. Tiada duit. Saya belajar jual beg plastik di pasar... mula jam 4 petang, pulang rumah di Pulau Gaya jam 11 malam. Bapa saya sakit, ibu saya jual ikan. Saya mesti berani cari duit," katanya yang ligat mengejar pelanggan bersama 10 rakan sebaya. Persoalannya, bolehkah kanak-kanak anak warga tempatan itu dikategorikan sebagai kanak-kanak jalanan, sama seperti belia belasan tahun anak pendatang tanpa izin yang menjadi penggilap kasut untuk membantu keluarga? Adakah adil bagi masyarakat 'menghukum' Ahmad, Aba dan Siti sedangkan satu-satunya 'kesalahan' mereka ialah kemiskinan?

Senario ini bukan perkara baru di Sabah, malah kekalutan sosial itu turut dirumitkan dengan bilangan kanak-kanak jalanan warga asing yang pantas menarik lengan baju, merayu untuk menggilap kasut dengan bayaran RM1 sepasang atau membawa barangan dibeli di pasar ke kereta dengan upah 20 sen. Rumpun Nusantara tidak banyak membantu dalam hal ini. Kulit sawo matang, paras rupa hampir seiras dan kefasihan bertutur bahasa Melayu atau dialek tempatan sering menimbulkan kekeliruan bagi umum mencari perbezaan, justeru langkah paling mudah ialah mengandaikan semua anak jalanan adalah kanak-kanak warga asing yang hanya 'menyusahkan'. Ada pihak menuding jari kepada ibu bapa yang disifatkan mengabaikan tanggungjawab menjaga anak kerana terlalu leka mencari rezeki.

Untuk berlaku adil, salahkah jika mereka melaksanakan kewajipan mencari sesuap nasi untuk hidangan keluarga? Di sebalik himpitan kemiskinan, persoalan lebih kritikal seharusnya terarah kepada mentaliti ibu bapa atau penjaga yang pantas memberhentikan persekolahan anak atau langsung tidak memberi peluang generasi muda itu mendapat nikmat dan rahmat pendidikan.

Pelbagai bantuan kerajaan dalam membela golongan miskin untuk mendapat pendidikan mesti diuar-uarkan dengan lebih berkesan, seiring hasrat mengubah haluan hidup keluarga yang terperosok dalam kelompok Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT). Dalam kunjungan ke Sabah baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata pihaknya akan memastikan anak jalanan warga tempatan di Sabah ditempatkan di rumah perlindungan Sekolah Tunas Bakti (STB) Lama, Inanam.

"Pembinaan pusat perlindungan sementara itu adalah sebahagian daripada keputusan ahli jawatankuasa penyelarasan kanak-kanak jalanan yang ditubuhkan Kerajaan Pusat. Kanak-kanak tanpa dokumen sah akan ditempatkan di pusat perlindungan berkenaan secara sementara sebelum dihantar pulang.

"Bagi anak tempatan pula, kita akan bekerjasama dengan kementerian dan melihat tindakan yang wajar diambil ke atas ibu bapa kerana membiarkan anak mereka hidup tanpa pelajaran. "Kementerian saya bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuat kajian bagi menentukan bilangan anak jalanan ini. Kita kena pastikan mana yang tempatan dan mana yang warga asing," katanya.

Monday, January 14, 2008

Pemantauan ibu bapa elak anak jadi mangsa pengganas siber

MEMANG kecanggihan teknologi maklumat (IT) memberi kemudahan luar biasa kepada masyarakat dunia hari ini. Kehadiran internet memanfaat semua golongan masyarakat tanpa mengira darjat. Tetapi pada masa sama, internet boleh memusnahkan kehidupan, mendatangkan kerugian kepada perniagaan dan boleh disalahgunakan sehingga mengaibkan seseorang. Malah, generasi internet yang sebahagian besarnya remaja dan kanak-kanak mempunyai banyak pilihan untuk berhubung, bergaul serta berkomunikasi. Namun, ia sebenarnya boleh mengundang masalah apabila wujud pihak yang mahu mengambil kesempatan menganiaya mereka.

Laporan akhbar ini semalam menyebut sejumlah 46 peratus atau hampir enam juta daripada kira-kira 13 juta pengguna internet di negara ini terdedah kepada ancaman dan serangan pembuli siber kerana terlalu banyak mendedahkan maklumat peribadi mereka di laman web.
Sebahagian besar daripada angka itu membabitkan kanak-kanak dan remaja, kumpulan yang disifatkan paling berisiko menghadapi ancaman pembuli siber, berbanding golongan dewasa yang lebih matang.

Buli siber ialah sebarang bentuk ancaman dan serangan yang boleh dikenakan terhadap seseorang pengguna internet melalui pesanan teks, gambar menerusi e-mel, blog, telefon bimbit serta rangkaian web bagi mengganggu, memalukan dan mengugut. Ia boleh dilakukan menerusi internet seperti menyebarkan khabar angin, menghantar imej yang mengaibkan secara berterusan atau dengan mengekori, mengancam atau memeras ugut seseorang individu menggunakan maklumat yang diperoleh daripada zon siber. Sebenarnya, jika kita boleh mengesan mereka yang melakukan jenayah siber ini seperti kegiatan mencuri maklumat, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun berserta sebatan dan boleh dikenakan denda. Mengikut Seksyen 5, Akta Jenayah Komputer 1997 pula pencuri maklumat boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

Tindakan mendedahkan maklumat peribadi yang ada kalanya sulit, sama ada melalui internet, laman web sendiri atau blog, boleh digunakan pihak tertentu sebagai bahan dan alat untuk membuli serta memeras ugut seseorang. Bayangkan visual lucah VCD membabitkan seorang menteri baru-baru ini, sudah berada di Sarawak sehari selepas pendedahan mengenai video itu.
Penyebaran itu disyaki dilakukan melalui internet dengan menghantar serta memuat turun visualnya sebelum disalin semula kepada cakera padat.

Pasangan kekasih atau suami isteri perlu berhati-hati menghantar gambar intim mereka melalui internet kerana visual itu dengan mudah boleh dikesan serta dimuat turun atau disalin semula, selepas berada di ruang siber. Memang wujud sistem canggih penyelesaian keselamatan kepada internet, tetapi kebanyakannya bagi membendung ancaman virus. Tetapi ia tidak boleh menyekat 'pengganas siber'.

Pokoknya ibu bapa perlu sentiasa memantau pergerakan anak mereka dengan mengambil tahu laman web yang dilayari serta memastikan mereka tidak mendedahkan maklumat peribadi termasuk memberikan alamat rumah, nombor telefon kepada rakan internet. Golongan remaja ini amat seronok melayari laman sosial seperti Friendster, MySpace, Xanga atau Facebook dan sesetengahnya berkongsi profil peribadi selain gambar tanpa menyedari maklumat itu boleh dipintas dan direkod pihak tertentu.