Sunday, November 2, 2008

Kelajuan mengundang maut

Penunggang motosikal paling berisiko kehilangan nyawa

BERDASARKAN satu kajian pada 1985 mendapati jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya berpotensi dikurangkan sebanyak 85 peratus jika masalah berpunca daripada penunggang dan pembonceng motosikal dapat diatasi.

Ini kerana golongan ini adalah penyumbang terbesar kepada statistik kemalangan dan kematian sepanjang tahun terutama menjelang musim perayaan utama. Kenapa masalah ini berlaku sedangkan di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Timur Tengah, kadar kemalangan motosikal sangat rendah.

Logiknya cukup mudah, mereka menggunakan motosikal berkuasa tinggi yang mementingkan aspek keselamatan sedangkan di Asia Tenggara termasuk Malaysia serta negara China dan India, kebanyakan motosikal adalah jenis ‘kapcai’ iaitu motosikal berkuasa kurang 250 cc.

Namun, jika aspek kejuruteraan jalan raya ditingkatkan iaitu menyediakan laluan khas motosikal seperti yang diumumkan kerajaan baru-baru ini untuk membina laluan dari Perlis ke Johor dilaksanakan sepenuhnya, kadar kemalangan mampu dikurangkan.

Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh menjelaskan, purata kematian akibat kemalangan pada hari biasa ialah 17 kes dan 13 daripadanya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Sebab itu kami tingkatkan kempen kesedaran menunggang pada had laju 60 kilometer sejam untuk penunggang motosikal. Hujahnya mudah, pada kelajuan itu, apabila berlaku sebarang kecemasan, penunggang masih mampu mengelak atau mengawal motosikal.

“Kedua, jika masih terlanggar, impak kelajuannya masih rendah iaitu kira-kira 40 kilometer sejam dan ketiga, mereka masih dilindungi daripada kecederaan parah

Jika menunggang pada kelajuan 70 kilometer sejam, risikonya meningkat sekali ganda. Setiap hari, direkodkan 12 hingga 13 penunggang atau pembonceng motosikal maut akibat kemalangan.

Daripada jumlah itu, 20 hingga 30 orang akan menjadi OKU (Orang Kurang Upaya)..adakah ini yang diinginkan?,” katanya.

Sehubungan itu, JKJR menyarankan penunggang dan pembonceng motosikal melengkapkan diri secara maksimum untuk memastikan keselamatan terjamin. Antaranya ialah menggunakan topi keledar berkualiti yang diiktiraf Sirim Berhad dan memakainya secara betul.

Bagi pemanduan pada waktu malam, mereka diwajibkan memakai pakaian mempunyai bahan pantulan cahaya supaya kedudukan dan pergerakan mereka mudah dilihat pengguna lain.

Tip: Topi keledar

Jangan mencelah antara kenderaan kerana ia meningkatkan risiko kepada diri dan kenderaan lain

Topi keledar digalakkan diganti sekiranya melebihi usia lima tahun atau pernah terhentak dalam kemalangan.

Sentiasa memakai dan mengikat topi keledar dengan betul.

Elakkan daripada menggunakan keledar separuh atau 'topi kura-kura' yang dijual pada harga RM20 hingga RM35 kerana membahayakan pengguna jika berlaku kemalangan.



Kecelaruan gender musnah institusi keluarga

ISU kecelaruan gender menjadi menjadi fokus utama perbincangan umum ketika ini berikutan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada persidangannya di Kota Baharu, Kelantan pada 24 Oktober lalu yang mengeluarkan fatwa pengharaman pengkid iaitu wanita menyerupai lelaki.

Sebelum ini, kumpulan keliru gender menyembunyikan sifat mereka kerana masyarakat tradisional kukuh dengan jati diri dan komitmen agama menekannya daripada terdedah kepada khalayak. Kini, kumpulan terbabit bukan saja semakin terdedah, malah berani menonjolkan diri di khalayak sehingga menjadi trend terbaru.

Ada yang menilai kumpulan itu secara positif kerana dominasi pemikiran liberal yang tidak didukung landasan agama. Tidak ada agama yang menghalalkan perbuatan golongan tiruan itu kerana Allah melaknat mereka seperti ditunjukkan dengan jelas dalam al-Quran.

Antaranya kisah kaum Luth dan surah seperti al-Anbiyaa, ayat 74 dan 75; surah Asy-Syu'ara (ayat 160-175); surah Hud (ayat 77-83); surah Al-Qamar (ayat 33-39) dan surah At-Tahrim (ayat 10). Berbeza dengan kumpulan 'jadian', Islam mengiktiraf gender khusus secara alamiah disebut khunsa yang bermaksud lembut. Pengkid juga termasuk dalam kategori sama dengan pondan yakni menyerupai gender berbeza.

Menurut syarak, khunsa seseorang yang diragui jantinanya sama ada kedua-dua alat kelamin, tiada langsung atau ada alat kelamin lelaki tapi batinnya perempuan atau sebaliknya. Menurut Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, Fatwa Darul Ifta, ada dua jenis khunsa iaitu ghayr musykil (khunsa mudah ditentukan kecenderungan seksnya) dan khunsa musykil (sukar ditentukan).

Jika khunsa ghayri musykil, status wuduk dan ibadahnya menyerupai kaum ditentukan (sama ada lelaki atau wanita). Jika khunsa itu sudah disahkan perempuan, batal wuduk jika bersentuhan dengannya.

Penetapan posisi mereka dalam solat sudah ditetapkan oleh jumhur yang menyatakan khunsa mesti berada di barisan ketiga selepas dewasa, kanak-kanak lelaki dan khunsa selepas itu baru wanita. Oleh itu, selain golongan yang disebut dan diiktiraf dalam agama dengan alasan lain seperti psikologi, putus cinta, patah hati, desakan sosial, pengaruh kawan serta persekitaran dan sebagainya, mereka sebenarnya adalah kumpulan 'jadi-jadian'.

Kumpulan ini yang patut diberi perhatian sewajarnya dan perlu dibanteras supaya tidak menimbulkan kecelakaan kepada peradaban manusia sejagat. Kelakuan songsang mereka bukan saja menimbulkan malapetaka dan penyakit bahkan meruntuhkan struktur sosial semula jadi dalam keluarga kerana tidak lagi wujud ibu dan bapa. Keadaan ini tentu membahayakan keturunan serta kesinambungan zuriat yang tidak mungkin terhasil dan berterusan sebab kelahiran anak adalah mustahil daripada hasil hubungan luar tabii ini.

Malangnya, masyarakat kini seolah-olah bukan saja menghalalkan percambahan pengkid atau pondan, malah seperti menggalakkannya untuk diperakui sebagai sebahagian daripada masyarakat berasaskan prinsip toleransi dan kebebasan hak asasi individu. Sikap ini yang menyuburkan lagi penularan gejala buruk berkenaan.

Sudah tiba masanya kita melihat perkara ini secara serius dan mengambil tindakan membendungnya seperti penyalahgunaan dadah, rompak dan jenayah kerana tindakan kumpulan itu sebenarnya lebih buruk daripada jenayah biasa. Mereka ialah penjenayah sosial dan agama yang bakal meruntuhkan struktur tamadun manusia di muka bumi ini.

Ada pihak menyarankan pendekatan berhemah dengan menggunakan kaunseling dan nasihat dalam menanganinya, namun tindakan perundangan termasuk menyediakan akta khusus berkaitan tingkah laku itu dan penalti setimpal juga mesti diwujudkan. Tindakan ini penting untuk membantu proses penguatkuasaan supaya kumpulan berkenaan tidak mudah terlepas apabila penguatkuasaan ingin dilaksanakan terhadap mereka.

Adalah melucukan, malah menyakitkan hati apabila mereka sering terlepas daripada tindakan kerana tidak wujud akta yang boleh membabitkan mereka dengan pelbagai perlakuan termasuk menculik dan berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai. Mereka bertindak lebih berani kerana seolah-olah terlepas daripada tindakan dan kalis undang-undang. Kita perlu bersikap lebih adil kepada pihak berkuasa yang seperti tenggelam punca apabila berdepan keadaan tidak diundang berhadapan dengan kumpulan itu.

Kewujudan akta khusus bukan saja boleh dijadikan alat membanteras gejala berkenaan, tetapi pada masa sama mampu mengekang perkembangan fenomena terbabit dan berupaya mempamerkan kesungguhan kerajaan mengatasinya. Keadaan ini turut memberikan amaran, menggerunkan dan menjauhkan individu lain supaya tidak terjebak dalam arus serupa. Masa berpolemik sepatutnya tidak berlanjutan.

Segalanya perlu diterjemahkan dengan tindakan kerana jelas ancaman itu bukan bersifat terpencil. Fenomena ini boleh dilihat di mana saja, pada sebarang ketika dan boleh menimpa sesiapa saja tanpa mengira status pangkat, strata sosial atau kedudukan ekonomi, bangsa atau agama.

Semua pihak mesti menunjukkan sikap tidak bertolak ansur, membenci, menolak malah menghalang segala tindak tanduk dan ancaman kumpulan penjenayah sosial dan agama ini daripada terus berleluasa. Kita mesti katakan tidak kepada gender jadian yang sudah menjadi barah masyarakat.

Tindakan serta-merta mesti dilaksanakan mengikut kuasa sedia ada sementara menanti akta khusus terhadap golongan itu. Apa atau di mana saja mereka bercambah maka menjadi kewajipan masyarakat untuk membasmi, mencegah, memantau dan menyalurkan maklumat supaya kita tidak lagi ditimpa musibah dan kemurkaan Allah seperti kaum Nabi Luth. Kita khuatir jika masalah ini tidak dicegah dan dipandang remeh.

Menghalalkan perbuatan mungkar yang besar dosanya. Maka sampai ketika apabila kita tersedar sudah terlewat untuk bertindak.

Tuesday, July 29, 2008

Jangan malu lapor gangguan seksual

Sebanyak 101 kes gangguan seksual di tempat kerja dilaporkan kepada polis sepanjang 2006, manakala dalam tempoh antara Januari dan Jun tahun lalu saja polis menerima 90 laporan berhubung kejadian itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon, berkata beliau yakin bilangan sebenar adalah lebih tinggi kerana ada antara mangsa yang memilih untuk mendiamkan diri.

“Di kalangan mangsa khususnya wanita, (mereka) tidak mahu tampil untuk membuat laporan disebabkan oleh faktor seperti rasa malu, takut dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata keengganan mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa akan menyebabkan si pelaku perbuatan itu tidak takut untuk mengulangi perbuatan sedemikan ke atas orang lain, sehubungan itu beliau meminta supaya mangsa kejadian itu jangan malu membuat laporan polis.

Katanya, gangguan seksual boleh mendatangkan implikasi negatif seperti mangsa mengalami ketakutan atau trauma, sekali gus mengurangkan produktiviti, selain menjejaskan keyakinan serta kesejahteraan diri mereka.

Beliau berkata, gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk warga emas dan kanak-kanak tanpa mengira tempat sama ada di tempat kerja, sekolah, pusat pengajian tinggi, pengguna pengangkutan awam dan tempat awam lain.

29/7/2008 - Bernama

Thursday, July 17, 2008

Ibu bapa kena terus terang dengan anak

GUNAKAN bahasa yang jelas untuk bercakap dengan anak.

Elak menipu jika tidak tahu jawab soalan

Kebenaran

Apa yang diberitahu kepada anak mestilah perkara yang benar. Ibu bapa jangan menipu anak. Jika ibu bapa tidak tahu jawapan kepada persoalan yang diajukan anak, beritahu mereka bahawa kita tidak tahu dan mengajak mereka mencari jawapannya. Jika ada perkara yang mungkin sukar bagi kita menjawab sendiri oleh sebab-sebab tertentu, minta bantuan daripada orang lain dan beritahu anak perkara sebenar.
Bercakap terus terang dan tepat

Apabila kita bercakap dengan anak, kita mesti menggunakan bahasa yang senang dan cakap terus terang serta tidak berbelit-belit. Kadangkala kita terpaksa memberikan satu-satu jawapan kerana tidak ada masa memikirkannya dan terpaksa membuat satu keputusan yang mengelirukan.

Contohnya, anak meminta kebenaran bermain di luar tetapi hari panas, kita terus menjawab , "tidak boleh nanti dikejar anjing". Sepatutnya kita beritahu terus bahawa "tidak boleh hari panas" dan beritahu bahawa nanti akan menyebabkan mereka (anak) sakit.

Sentiasa konsisten dan tepat


Apa saja yang kita terangkan kepada anak-anak atau mengajar mereka, mestilah dilakukan dengan konsisten dan tepat. Pembaharuan boleh diterima oleh anak-anak tetapi jangan membuat pembaharuan tanpa sebab yang munasabah atau tidak jelas.

Rangsangan

Keupayaan adalah asas membina semangat kepada anak-anak manakala kegagalan asas lemah dan boleh mematahkan semangat

Harapan

Wujudkan perasaan positif dan tanamkan perasaan harapan yang tinggi dan jangan berputus harapan kepada anak-anak.

Berulang-kali

Anak-anak suka sesuatu yang berulang-ulang. Jika sesuatu itu dilakukan berulang-kali, maka lebih kuatlah pembentukan rangkaian di dalam otak mereka. Namun, elakkan perkara berulang atau pengalaman negatif terhadap anak-anak.

Jangkaan

Ajar anak supaya boleh membuat penentuan atau ramalan atas sesuatu yang terjadi atau apa yang bakal berlaku. Jika membuat sesuatu dengan anak berhenti sebelum anak masih minat dan seronok.

Disiplin/ Undang-undang

Anak tidak boleh dipukul, dicubit atau ditengking. Cara kita mendisiplinkan mereka mestilah diasaskan kepada: maruah yang tinggi, ilmu dan kefahamannya, wujudkan peraturan, terang dan tunjukkan cara, buat sebagai amalan dan menjadi contoh teladan

Kegembiraan

Dilakukan dengan penuh kemesraan dan kegembiraan. Perasaan gembira boleh mewujudkan keselesaan diri yang menyebabkan anak sentiasa riang. Perkataan yang digunakan, lagu-lagu pantun mestilah mewujudkan perasaan gembira. Elakkan perasaan sedih, sayu, pilu merendahkan anak, menghina manusia dan perkara negatif lain. Berikan anak-anak ilmu yang banyak, menjaga diri dan membina kemampuan melakukan banyak perkara yang berguna.

Kecewa

Anak perlu mengalami kekecewaan dalam hidupnya. Kehilangan barang yang disayanginya, perpisahan ibu bapa, kematian dan sebagainya adalah kekecewaan yang akan dihadapi anak-anak. Semuanya mesti dijelaskan kepada anak secara benar dan bantulah anak mengatasi kekecewaan itu.

Teladan

Teladan daripada ibu bapa dan orang lain dalam hidupnya adalah pengajaran yang paling efektif. Teladan yang baik akan meningkatkan ciri yang baik. Teladan yang buruk merosakkan amalan hidup dan kewibawaan anak.

Konsep Downshifting (merendah-rendahkan atau menurunkan semangat anak) Jangan pukul, cubit dan menghina anak. Elakkan mencari salah, membeza-bezakan anak-anak, menyebut jangan, tidak boleh tanpa sebab dan keterangan dan jangan menggunakan amaran yang marah tanpa sebab serta keterangan kukuh.

Konsep Expansion vs Replacement (Pengembangan lawan Pengambilalihan) Membina keyakinan diri, maruah dan jati diri

Sumber: Pengerusi Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-Kanak Nury, Datuk Dr Noor Laily Abu Bakar, Bengkel Hak Perlindungan dan Keselamatan Diri Kanak-kanak anjuran Institut Kefahaman Islam (Ikim).

Wednesday, May 28, 2008

FENOMENA : Lelaki mangsa keganasan rumahtangga

HAMPIR tiga daripada 10 lelaki dikatakan pernah mengalami keganasan rumahtangga di tangan pasangan hidup masing-masing.

Penyelidikan di Universiti Washington, Seattle, Amerika Syarikat mendedahkan ramai lelaki yang mengalami penderaan domestik tetapi jarang dihebahkan kepada umum.

Kebanyakan mangsa dikatakan tidak melaporkan kejadian berkenaan sementara orang di sekeliling mereka pula tidak berani bertanya mengenainya.

Kumpulan penyelidik berkenaan menjelaskan penderaan domestik boleh berlaku secara fizikal atau bukan fizikal di mana mangsa diugut (sehingga takut akan keselamatan diri), dicaci dan dikawal tingkah-laku ketika bersama pasangan.

Secara keseluruhan, dianggarkan 30.5 peratus lelaki di bawah umur 55 tahun dan 26.5 peratus lelaki melebihi usia 55 tahun melaporkan pernah mengalami penderaan domestik, separuh daripadanya penderaan fizikal.

Bagaimanapun, penderaan fizikal yang dilaporkan di kalangan mangsa lelaki juga dikatakan tidak seteruk mangsa wanita di mana cuma 20 hingga 40 peratus mangsa lelaki menyatakan mereka didera dengan teruk berbanding 61 peratus di kalangan mangsa wanita.

Penyelidik juga menegaskan kajian tersebut bukan untuk merendahkan penderaan domestik di kalangan wanita tetapi untuk menunjukkan penderaan berlaku dalam banyak bentuk, terhadap lelaki dan juga kanak-kanak.

Penyakit kronik pembunuh utamaPERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan penyakit kronik telah melangkaui penyakit berjangkit seperti tuberkulosis (tibi), HIV/AIDS dan malaria sebagai pembunuh utama di seluruh dunia.

Maklumat Statistik Kesihatan Dunia 2008 yang dikumpulkan dari 193 negara ahli WHO menunjukkan penyakit kronik seperti strok dan penyakit jantung kini menjadi pembunuh utama di lebih banyak negara.

Kematian akibat penyakit kronik juga dijangka akan meningkat dengan mendadak dan berterusan sehingga 2030 sejajar dengan peningkatan usia penduduk di negara berpendapatan sederhana atau rendah.

Penggunaan produk tembakau dikatakan sebagai punca tunggal utama kematian yang boleh dicegah, membunuh satu pertiga sehingga separuh pengguna produk tembakau akibat penyakit jantung, strok dan salur darah tersumbat.

Laporan WHO juga menjangkakan 80 peratus daripada anggaran 8.3 juta kematian berkaitan tembakau pada 2030 akan berlaku di kalangan penduduk negara membangun.

Negara membangun dan negara berpendapatan rendah juga dilihat kini menghadapi masalah obesiti yang meruncing, terutamanya di kawasan bandar dan di kalangan kanak-kanak.

WHO menjangkakan 30 peratus kematian yang berlaku menjelang 2030 berpunca daripada kanser, penyakit kardiovaskular dan kemalangan jalan raya, di samping masalah peningkatan kes diabetes dan asma di seluruh dunia.

Monday, May 26, 2008

Ibu bapa tidak peduli keselamatan anak

AKHIRNYA pihak berkuasa merasai betapa perlunya Akta Kanak-kanak 2001 dikuatkuasakan. Tindakan tegas ini sudah tentu berdasarkan kepada beberapa kejadian kehilangan dan pembunuhan ke atas kanak-kanak yang tidak berdosa.
Namun penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak memadai sekiranya pi- hak berwajib gagal mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang melang- gar undang-undang.
Malahan ada pula yang mendakwa ba- hawa ibu bapa tidak boleh dipersalahkan di atas perlakuan anak-anak mereka atau sesuatu kejadian yang menimpa kanak-kanak di luar pengetahuan ibu bapa.
Bagaimanapun akta ini perlu dikuatkuasakan bagi memelihara kanak-kanak dan menimbulkan sikap tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak mereka.
Zaman sekarang bukan lagi seperti ke- tika penulis kecil-kecil dalam tahun 50- an dulu. Di kala itu tidak siapa yang ma- hu menculik kanak-kanak atau membunuh sesiapa tanpa alasan kecuali pengganas komunis.
Kanak-kanak bebas boleh bermain di mana sahaja. Cuma kanak-kanak bertempiaran lari melihat polis berbangsa Sikh atau sesiapa sahaja yang membawa guni.
Kadang-kadang orang itu cuma gembala kambing atau lembu kaum India.
Di kala itu cerita tersebar luas mengenai kejadian memotong kepala untuk di- buat persembahan membina jambatan dan sebagainya.
Tidak tahulah betul atau tidak, pokoknya cerita-cerita seumpama itu sahajalah yang membuatkan kanak-kanak ti- dak berani keluar rumah.
Tetapi di zaman moden dan serba ke- mewahan ini kejadian mengabai dan membahayakan kanak-kanak boleh dilihat di mana-mana.
Umpamanya kanak-kanak dalam ling- kungan 12 tahun telah mula memandu motosikal tanpa lesen dan tanpa topi keledar. Perkara ini diketahui ibu bapa tetapi mereka tidak mempedulikannya.
Terdapat pula bapa yang 'makan angin' dengan motosikal membawa isteri dan anak-anak kecil, semuanya tanpa topi keledar. Kanak-kanak kecil dalam lingkungan belum bersekolah tersepit di te- ngah-tengah ibu dan bapa.
Ada kalanya ibu bapa memakai topi keledar sementara kanak-kanak kecil di- biarkan tanpa memakai apa-apa. Jelas sekali mereka hanya mementingkan diri sendiri dan tidak anak-anak.
Sementara yang mempunyai kereta pula sering meletak anak ditempat duduk hadapan tanpa tali pinggang keledar dan ada kala berdiri sambil mengeluarkan tangan melalui tingkap. Ada ju- ga yang meriba anak ketika memandu kononnya sayangkan anak.
Terdapat juga anak-anak yang dibiarkan bermain di bahagian belakang kereta tanpa tali pinggang keledar.
Paling teruk, ada ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka menjadi mat rempit. Mereka bagaimanapun cuma marah dan menyesal apabila anak- anak mereka terlibat dalam kemalangan.
Kanak-kanak juga dibenarkan memandu dengan laju di kawasan perumahan dengan enjin yang terlalu bising tan- pa mempeduli orang lain. Ada kalanya terlibat dalam kemalangan.
Ini adalah antara pemandangan dan pengalaman penulis ketika tinggal di sebuah taman perumahan di Kepala Batas yang majoriti penduduknya Melayu.
Selain daripada tanggungjawab itu bapa pihak berkuasa tempatan juga mesti memainkan peranan mereka. Umpamanya meletak had laju di kawasan perumahan dan 'hum' untuk mengelak daripada pemandu memandu laju.
Pihak polis pula mengambil alih tugas menguatkuasakan peraturan yang ditetapkan.
Satu perkara yang penulis perhatikan tidak ada pondok polis berdekatan de- ngan taman perumahan sementara kereta peronda jarang-jarang sekali memasuki kawasan perumahan.
Penguatkuasaan penggunaan tali ping- gang keselamatan bagi penumpang belakang dilihat sebagai satu lagi langkah untuk mengurangkan kehilangan nyawa termasuk kanak-kanak ketika berlaku ke- malangan.
Sepatutnya tidak ada pengecualian ba- gi kereta baru atau lama. Begitu juga de- ngan jumlah penumpang belakang hendaklah berdasarkan tali pinggang keledar. Tidak boleh diberi pengecualian.
Soal tidak ada wang untuk memasang tali pinggang keselamatan tidak timbul. Diperhatikan kebanyakan rumah mempunyai lebih daripada sebuah kereta. Ini bermakna mereka mampu membeli kereta dan sudah tentu mampu menjaga keselamatan keluarga.
Bagaimanapun tepuk dada tanya selera. Cuma jangan salahkan takdir bila berlaku kemalangan ke atas keluarga sendiri.

Monday, April 7, 2008

Sufiah tak kesal jadi pelacur

LONDON: Seminggu selepas kisah hidupnya sebagai pelacur terbongkar, wanita pintar matematik, Sufiah Yusof, membuat satu lagi kejutan apabila mengakui tindakannya menjual tubuh memberinya kehidupan jauh lebih seronok dan glamor, berbanding kejayaannya memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun.

Malah, Sufiah membuat pengakuan berani sebagai 'wanita penuh berahi' yang suka membaca kisah hidup dan watak pelacur dalam drama televisyen serta mampu menerima bayaran £1,000 (RM7,000) bagi setiap sesi perkhidmatannya atau pendapatan tahunan kira-kira £60,000 (RM420,000). Anak ketiga daripada lima beradik itu juga mengakui masih trauma dan terus dihantui pengalaman peritnya ketika zaman kanak-kanak apabila didera bapanya, Farrooq Yusof, termasuk sehari suntuk belajar matematik di dalam bilik amat sejuk atas alasan dapat menambah daya ingatannya.

Sufiah, janda berusia 23 tahun, mendakwa hubungannya dengan keluarga kini semakin renggang.

"Saya tergamam dengan apa yang berlaku kepada ibu. Ya, saya ada menghubungi mereka, tetapi saya tidak mahu mengandaikan pandangan mereka terhadap kehidupan baru ini. Saya tidak rasa kesal langsung. Saya lebih yakin dengan tubuh ini serta pekerjaan saya," katanya dalam temubual dengan wartawan tabloid, News of The World.

Sufiah memutuskan untuk membuat pengakuan itu selepas tabloid berkenaan sebelum ini mendedahkan kisah hidupnya yang melacur dengan mendapat bayaran kira-kira £130 (RM910) sejam.

Pendedahan tabloid berkenaan minggu lalu, menjadi perkembangan penuh tragik bagi Sufiah yang sebelum ini melalui kehidupan yang dipenuhi banyak peluang cerah, tetapi bertukar sebaliknya selepas melarikan diri dari universiti dan keluarga pada usia 15 tahun kerana tidak tahan dengan sikap buli bapanya. Ibu Sufiah, Halimaton Yusof berasal dari Muar, Johor, bapanya, Farooq dari Pakistan.

Bapanya kini menjalani hukuman penjara 18 bulan selepas didapati bersalah mencabul dua pelajar perempuan berusia 15 tahun ketika mengajar matematik di rumah mangsa. Farooq juga pernah dipenjara tiga tahun pada 1992 kerana didapati bersalah dalam kes pemalsuan pembiayaan sewa beli.

Halimaton kini dalam proses menuntut cerai dengan Farooq selepas berkongsi hidup lebih 30 tahun. Kakak Sufiah, Aisha, 25, pula sudah berkahwin dan tinggal berasingan, manakala abangnya, Abraham, 26, serta dua adik, Iskander, 21, dan Zuleika, 14, tinggal dengan Halimaton.

Mengimbau detik pertamanya bertukar daripada pelajar pintar kepada pelacur, Sufiah berkata dia bekerja sebagai pembantu pentadbiran dengan pendapatan kira-kira £16,000 (RM112,000) setahun di Manchester, apabila dihampiri ketua agensi teman sosial yang menyebabkannya terjerumus ke kancah pelacuran. Ketika itu, dia dihimpit hutang termasuk bebanan kad kredit kira-kira £3,500 (RM24,500).

Namun, Sufiah tanpa segan silu atau rasa kesal, yakin statusnya sebagai pekerja seks memberi jawapan kepada semua permasalahannya. "Saya menjadikan pelanggan tidak keruan dengan membacakan formula matematik ketika kami berasmara. Pelanggan saya sukakan kemampuan saya kerana dapat merangsang minda dan badan mereka secara serentak. "Saya tidak berasakan semua pendidikan yang diterima selama ini sia-sia.

Malah, saya lazimnya membawa kertas tugasan yang perlu diselesaikan sebelum temu janji dengan pelanggan," katanya. Lapan tahun selepas mencipta nama sebagai pelajar pintar, Sufiah, dakwa tabloid itu, tidak menunjukkan sebarang kekesalan apabila memandang tinggi karier barunya sebagai pelacur. "Ramai yang memandang rendah tugas sebagai teman sosial ini, tetapi saya tidak menganggapnya sedemikian. Lagi pun saya sememangnya mempunyai nafsu seks yang tinggi. "Kini saya memperoleh semua seks yang saya ingini. Lelaki juga jauh lebih baik di ranjang dengan teman sosial berbanding teman wanita sendiri. "Saya mempunyai pelanggan yang terpesona dengan keupayaan matematik saya. Malah, ada seorang pelanggan yang meminta saya membacakan kaedah matematik termasuk algebra ketika kami berasmara. Ia terbukti menjadikannya lebih seronok," katanya. Sufiah juga mendakwa pendapatannya tidak kurang hebat kerana memberinya wang yang lumayan. "Ya, saya menikmati kehidupan yang baik dan mampu mengawalnya. Saya bencikan pandangan masyarakat yang stereotaip mengenai tugas sebagai teman sosial. Ia jauh berbeza daripada tanggapan salah mereka. "Pelanggan saya juga tidak kurang hebatnya dan melayan saya seperti puteri. Ada seorang lelaki yang sering saya temui di London membelikan saya pakaian Gucci berharga £700 (RM4,900) dan membawa saya ke Selfridges untuk memilih apa juga beg tangan yang saya mahukan. "Pada sebelah malam, kami makan malam bersama dan dia membawa saya pulang ke hotel. Saya berasa seperti (aktres) Julia Roberts dalam Pretty Woman."

– Agensi (Berita Harian 7/4/2008