Wednesday, May 28, 2008

FENOMENA : Lelaki mangsa keganasan rumahtangga

HAMPIR tiga daripada 10 lelaki dikatakan pernah mengalami keganasan rumahtangga di tangan pasangan hidup masing-masing.

Penyelidikan di Universiti Washington, Seattle, Amerika Syarikat mendedahkan ramai lelaki yang mengalami penderaan domestik tetapi jarang dihebahkan kepada umum.

Kebanyakan mangsa dikatakan tidak melaporkan kejadian berkenaan sementara orang di sekeliling mereka pula tidak berani bertanya mengenainya.

Kumpulan penyelidik berkenaan menjelaskan penderaan domestik boleh berlaku secara fizikal atau bukan fizikal di mana mangsa diugut (sehingga takut akan keselamatan diri), dicaci dan dikawal tingkah-laku ketika bersama pasangan.

Secara keseluruhan, dianggarkan 30.5 peratus lelaki di bawah umur 55 tahun dan 26.5 peratus lelaki melebihi usia 55 tahun melaporkan pernah mengalami penderaan domestik, separuh daripadanya penderaan fizikal.

Bagaimanapun, penderaan fizikal yang dilaporkan di kalangan mangsa lelaki juga dikatakan tidak seteruk mangsa wanita di mana cuma 20 hingga 40 peratus mangsa lelaki menyatakan mereka didera dengan teruk berbanding 61 peratus di kalangan mangsa wanita.

Penyelidik juga menegaskan kajian tersebut bukan untuk merendahkan penderaan domestik di kalangan wanita tetapi untuk menunjukkan penderaan berlaku dalam banyak bentuk, terhadap lelaki dan juga kanak-kanak.

Penyakit kronik pembunuh utamaPERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan penyakit kronik telah melangkaui penyakit berjangkit seperti tuberkulosis (tibi), HIV/AIDS dan malaria sebagai pembunuh utama di seluruh dunia.

Maklumat Statistik Kesihatan Dunia 2008 yang dikumpulkan dari 193 negara ahli WHO menunjukkan penyakit kronik seperti strok dan penyakit jantung kini menjadi pembunuh utama di lebih banyak negara.

Kematian akibat penyakit kronik juga dijangka akan meningkat dengan mendadak dan berterusan sehingga 2030 sejajar dengan peningkatan usia penduduk di negara berpendapatan sederhana atau rendah.

Penggunaan produk tembakau dikatakan sebagai punca tunggal utama kematian yang boleh dicegah, membunuh satu pertiga sehingga separuh pengguna produk tembakau akibat penyakit jantung, strok dan salur darah tersumbat.

Laporan WHO juga menjangkakan 80 peratus daripada anggaran 8.3 juta kematian berkaitan tembakau pada 2030 akan berlaku di kalangan penduduk negara membangun.

Negara membangun dan negara berpendapatan rendah juga dilihat kini menghadapi masalah obesiti yang meruncing, terutamanya di kawasan bandar dan di kalangan kanak-kanak.

WHO menjangkakan 30 peratus kematian yang berlaku menjelang 2030 berpunca daripada kanser, penyakit kardiovaskular dan kemalangan jalan raya, di samping masalah peningkatan kes diabetes dan asma di seluruh dunia.

No comments: