Tuesday, July 29, 2008

Jangan malu lapor gangguan seksual

Sebanyak 101 kes gangguan seksual di tempat kerja dilaporkan kepada polis sepanjang 2006, manakala dalam tempoh antara Januari dan Jun tahun lalu saja polis menerima 90 laporan berhubung kejadian itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon, berkata beliau yakin bilangan sebenar adalah lebih tinggi kerana ada antara mangsa yang memilih untuk mendiamkan diri.

“Di kalangan mangsa khususnya wanita, (mereka) tidak mahu tampil untuk membuat laporan disebabkan oleh faktor seperti rasa malu, takut dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata keengganan mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa akan menyebabkan si pelaku perbuatan itu tidak takut untuk mengulangi perbuatan sedemikan ke atas orang lain, sehubungan itu beliau meminta supaya mangsa kejadian itu jangan malu membuat laporan polis.

Katanya, gangguan seksual boleh mendatangkan implikasi negatif seperti mangsa mengalami ketakutan atau trauma, sekali gus mengurangkan produktiviti, selain menjejaskan keyakinan serta kesejahteraan diri mereka.

Beliau berkata, gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk warga emas dan kanak-kanak tanpa mengira tempat sama ada di tempat kerja, sekolah, pusat pengajian tinggi, pengguna pengangkutan awam dan tempat awam lain.

29/7/2008 - Bernama

No comments: