Wednesday, June 17, 2009

Pelajar ponteng lepak di surau


Sekumpulan 20 pelajar di dua buah sekolah menengah berhampiran Taman Merlimau Utara di sini, dikesan ponteng sekolah dengan menjadikan surau, rumah kosong dan kawasan ladang kelapa sawit sebagai lokasi melepak.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Daerah (IPD) Jasin, Cif Inspektor Sa‘adon Sabirin berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kegiatan segelintir pelajar sekolah itu.

Menurut beliau, pelajar-pelajar terbabit didapati melakukan perbuatan itu secara berkumpulan dan menjadikan lokasi-lokasi itu sebagai tempat pertemuan mereka.

“Hasilnya, hari ini, kita berjaya mengesan lebih 20 pelajar sekolah menengah yang ponteng. Salah seorang daripada mereka ditahan.

“Daripada maklumat diperoleh, pelajar lelaki tingkatan dua yang ditahan itu mengakui terdapat lima hingga tujuh kumpulan pelajar seramai lebih 20 orang tidak hadir ke sekolah hari ini,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi membanteras ponteng sekolah di sini hari ini.

Operasi bermula pukul 9 pagi dan tamat pada pukul 12 tengah hari itu turut disertai Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Pejabat Pelajaran Daerah Jasin dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Sa‘adon menambah, pemeriksaan lanjut di dalam beg sekolah pelajar lelaki yang ditahan itu menemui sekotak rokok dan uniform sekolah.

“Pelajar terbabit mendakwa dia ponteng sekolah kerana gagal menyiapkan kerja diberikan guru dan terpengaruh dengan perbuatan rakan lain yang ponteng,” katanya.

Tambahnya, selain ponteng di ladang kelapa sawit, terdapat juga pelajar menjadikan surau dan rumah-rumah kosong di kawasan perumahan untuk ponteng sekolah.

Sehubungan itu, Sa‘adon meminta orang ramai supaya menghubungi pihak polis atau pihak sekolah sekiranya mengesyaki berlaku perbuatan ponteng sekolah di kawasan mereka.

Beliau pada masa sama menggesa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan sekolah supaya lebih peka dan proaktif dalam menangani masalah tersebut.“Semua pihak perlu terlibat bersama, tanpa mengharapkan bebanan masalah ini hanya ditanggung oleh pihak sekolah atau pihak berkuasa semata-mata,” katanya.

No comments: