Sunday, June 27, 2010

Gejala sosial boleh ancam masa depan

Pembabitan pelajar di negeri ini dalam gejala sosial dikhuatiri mampu mengancam masa depan golongan berkenaan pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Simoi Peri berkata, pelajar seharusnya perlu berfikir secara mendalam sebelum terjebak dengan sesuatu gejala sosial yang wujud di persekitaran mereka.

Beliau berkata, ini kerana masyarakat kini berdepan dengan dilema berhubung pembabitan golongan muda dalam pelbagai pelbagai sosial seperti menghidu gam, gangsterisme, penyalahgunaan dadah, sumbang mahram dan sebagainya.

''Penglibatan golongan muda dalam masalah sosial dikhuatiri merugikan negara dari segi pembangunan.

''Justeru saya meminta agar golongan pelajar tidak mudah terpengaruh dengan gejala itu yang boleh memusnahkan masa depan hidup mereka selepas ini," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Teknik Menjawab Soalan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 anjuran Majlis Kebajikan Dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak (MAKSAK) Wanita Sarawak dan Yayasan Sarawak di bilik persidangan Majlis Daerah Sri Aman.

Turut hadir, Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak, Datuk Saptuyah Suib; Ketua Penolong Pengarah Yayasan Sarawak, Mohd. Shuib Maknun dan Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan.

Dalam pada itu, Simoi turut menggalakkan para pelajar supaya memanfaatkan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam pembelajaran masing-masing.

Katanya, penggunaan ICT membolehkan pelajar mencari ilmu serta maklumat terkini yang berkaitan dengan mata pelajaran masing-masing menerusi penggunaan Internet.

''Dengan menjadikan ICT sebagai medium kedua untuk memperoleh ilmu maka saya yakin negara kita akan mampu melahirkan lebih ramai golongan modal insan berkualiti kelas pertama menjelang 20 tahun akan datang," jelasnya.

No comments: