SEKALI lagi negara digemparkan dengan isu pembunuhan dan pembuangan bayi. Isu ini kembali mendapat tempat di beberapa media massa setelah lama tidak kedengaran kes-kes sedemikian rupa.
Apa yang berlaku di Wangsa Maju, Kota Bharu dan satu kawasan berhampiran Kelab Selangor Darul Ehsan merupakan satu tragedi yang sepatutnya tidak berlaku.
Tentu frasa-frasa klise berkaitan pembuangan bayi akan muncul lagi seperti ‘binatang pun tahu sayang anak’ dan sebagainya untuk memperlihatkan betapa rendahnya nilai moral manusia pelakunya.
Barangkali ada lagi kes-kes terpencil yang berlaku tetapi tidak dilaporkan. Tetapi, setiap kali dilaporkan, tentu masyarakat akan berasa marah dan akan mengecam pelakunya sebagai manusia yang tidak bertanggungjawab dan lebih pentingnya ialah mengapa hal-hal ini masih berlaku dan seolah-olah makin serius sedangkan pelbagai langkah telah kita lakukan.
Dalam soal ini, selain daripada pihak berkuasa, adalah lebih baik masyarakat sekeliling memainkan peranan untuk membendung masalah pembuangan bayi.
Disebabkan pembangunan negara yang kita kecapi sekarang, tidak mustahil segala masalah sosial sukar dibendung tetapi dengan adanya keprihatinan pihak-pihak tertentu terutamanya masyarakat sekeliling akan dapat mengurangkan masalah pembuangan bayi.
Kejiranan
Konsep kejiranan di kawasan bandar akan dapat menentukan pelbagai masalah sosial dapat dikurangkan. Hubungan bebas remaja di bandar malah sudah menular di kawasan kampung sepatutnya ditangani oleh badan penduduk setempat dan masyarakat yang berada di sekeliling mereka.
Mereka inilah yang mesti mengenali siapa yang tinggal di sebelah rumah mereka, bagaimana bentuk hubungan mereka dan siapa-siapa yang menjadi kawan mereka.
Hubungan yang bebas tanpa perhatian dan pemantauan akan mewujudkan gejala tidak sihat sehingga pasangan lelaki perempuan tidak segan silu melakukan perkara yang di luar batas agama.
Oleh itu, peranan seterusnya masyarakat sekeliling dan badan penduduk setempat ialah melaporkan kepada pihak berkuasa supaya segala sesuatu yang mencurigakan dapat disoal siasat oleh pihak berwajib dengan harapan niat untuk meneruskan kejahatan dapat dibendung.
Apakah sebenarnya peranan persatuan penduduk setempat terhadap pendatang asing mahupun orang tempatan sendiri yang menjadi penghijrah? Adakah setiap ‘orang baru’ di sesuatu kawasan disoal siasat tentang hubungan mereka, latar belakang kerja mereka, siapa kawan-kawan mereka dan sebagainya?
Di negara kita, pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang’ seolah-olah menjadi semakin popular sehingga kadang-kadangnya pepatah itu menyusahkan kita jika terjadi sesuatu perkara di luar dugaan.
Dalam pada itu, kita seolah-olah sudah lali dengan pelbagai kempen yang disertakan dengan pelbagai slogan kerana masalah penderaan, pembuangan dan pembunuhan ke atas bayi tetap berlaku.
Apa-apa pun tentu semua pihak berharap pihak berkuasa akan melipatgandakan usaha dalam menangani masalah yang telah berlaku ini. Penjenayah dan mereka yang bertanggungjawab dengan perbuatan terkutuk ini mesti diheret ke muka pengadilan supaya dapat menjadi pengajaran kepada pihak lain.
Mengikut undang-undang, Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati ke atas pesalah jika disabitkan kesalahan membunuh. Sepatutnya peruntukan undang-undang ini menjadi satu rasa takut dan insaf ke atas pelaku kerana perbuatan mendera, membunuh dan membuang bayi telah menjadi salah satu barah dalam masyarakat di negara kita.
Thursday, April 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment