SUDAH tiba masanya sekolah rendah agama (SRA) ditubuhkan di seluruh negara. Sebagai premis bagi pendidikan dan pendedahan asas agama Islam, SRA mampu memperkukuhkan sahsiah diri setiap modal insan yang dilahirkan daripada sistem pendidikan negara.
Dengan ada modal insan beriman, berkeperibadian dan berakhlak, maka negara memiliki tenaga penggerak sektor awam mahupun swasta yang benar-benar tulen sekali gus bebas untuk membatasi diri daripada rasuah, penyalahgunaan kuasa, tidak bertanggungjawab malah menjauhi segala kemungkaran dek kerana ada iman di dada.
SRA yang sekian lama wujud dalam sistem pendidikan agama di Johor dan Selangor, kini semakin diberi perhatian oleh Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan dan Terengganu. Sekolah itu dikendalikan Jabatan Agama Islam dan dibiayai Majlis Agama Islam masing-masing.
Dengan mendidik kanak-kanak seawal usia tujuh tahun melalui lapan subjek termasuk fekah, tauhid, sirah, Quran dan tilawah serta bahasa Arab, tempoh enam tahun pendidikan di SRA memberi kesan sangat besar kepada diri setiap insan pelajar.
Kesannya tidak kurang seperti pendedahan dan kemahiran yang dijana daripada tujuh tahun pendidikan formal di sekolah rendah (SR). Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mahadzir Md Noor, berkata melalui pendidikan sistematik di SRA, seseorang murid dijamin pandai membaca al-Quran, tahu menunaikan solat serta faham asas halal dan haram mahupun dosa dan pahala.
“Apabila murid ini memasuki masyarakat dan alam remaja kemudian menjadi modal insan (pekerja), maka sekurang-kurangnya ada asas dan benteng untuk mereka berdepan dengan cabaran yang cuba mengheret mereka menjadi pekerja atau ahli masyarakat yang tidak berakhlak.
“Jika mereka terbabit dengan gejala sosial, pasti mereka lebih cepat tersedar dan akhirnya kembali ke pangkal jalan kerana mereka ada asas pendidikan agama ketika kecil. Ini sudah pasti tidak akan berlaku kepada remaja atau modal insan yang tidak ada langsung pendidikan agama.
“Memang wajar setiap negeri menubuhkan SRA kerana ia mampu menyediakan pendidikan agama untuk anak-anak yang tidak mampu dilakukan oleh ibu bapa. Anak yang belajar agama akan lebih tertib, menghormati orang lain dan Insya-Allah dia akan membesar sebagai modal insan yang baik,” katanya.
Mewujudkan SRA di setiap negeri adalah fardu kifayah bagi kerajaan negeri. Kewujudan sekolah agama swasta hanya untuk ibu bapa yang berkemampuan.
Tetapi SRA dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam negeri dan sebahagian besar kos dibiayai Majlis Agama Islam negeri.
Ibu bapa hanya dikenakan yuran komitmen pada tahap minimum.
Dari sudut lain, mendapat pendidikan agama adalah hak setiap kanak-kanak Muslim dan menjadi kesilapan yang sangat besar jika kerajaan mengabaikannya. Ketika ibu bapa semakin bimbang dengan aliran sosial remaja yang kian bercelaru, mewajibkan setiap murid menyertai SRA juga akan memberi kesan besar.
Masa terluang selepas sekolah biasa dapat diisi dengan menimba ilmu agama yang penting untuk dunia dan akhirat. Jika mengakui pepatah: ‘Melentur buluh biar daripada rebungnya’ maka SRA adalah jawapan kepada penanaman asas agama bagi modal insan bermula sejak kecil. Memang sukar untuk mendidik dan menanam minat selepas seseorang melepasi tempoh kanak-kanak.
Pada skop lebih luas, sistem pendidikan SRA mampu menjadi asas melahirkan umat Islam yang progresif, harmoni dengan kemodenan dan masyarakat, gigih menimba ilmu, bersikap toleransi serta berusaha mencapai kemajuan, keamanan dan kesejahteraan. Pelaksanaan SRA juga mencetuskan kerjaya baru kepada ribuan lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah menengah agama rakyat dan empat senawi di kebanyakan negeri.
Untuk diterapkan tenaga mereka dalam sistem pekerjaan, jawatan yang ada dan sesuai, amat terhad. Mereka akhirnya menganggur kerana peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi juga terbatas.
Tetapi dengan membuka SRA, lulusan SPM dan empat senawi ini boleh diserapkan dalam sistem perguruan. Mereka diberi kursus khas dan kemudian boleh mengajar.
Di Wilayah Persekutuan, guru SRA diserapkan menjadi kakitangan tetap dan menikmati faedah seperti guru dalam Skim Guru DGA27 selepas mereka diberi kursus di Maktab Perguruan Islam.
Tindakan sama juga boleh dilakukan terhadap lulusan SPM dan Empat Senawi yang ketika ini tidak ketentuan kerjanya.
Jika kerajaan beriltizam untuk terus memperkukuh dan memartabatkan lagi sistem pendidikan Islam sesuai dengan keperluan hari ini, antaranya melalui Program Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF), maka lulusan SPM dan empat senawi boleh dibabitkan untuk menjadi tunggak SRA untuk memastikan anak kita menguasai tulisan dan bacaan jawi, menguasai asas bahasa Arab, khatam al-Quran serta dilatih melaksanakan Fardu Ain dalam erti kata sebenar.
Jika program j-QAF diwujudkan dengan serampang dua mata - mewujudkan peluang kerjaya kepada lulusan diploma dan ijazah pendidikan agama, maka pelaksanaan SRA pasti dapat menyelesaikan pengangguran di kalangan lulusan sekolah menengah agama rakyat yang ada pengaruh dalam masyarakat tetapi mungkin tidak bersikap atas pagar atau cenderung menyokong pembangkang.
Jabatan agama Islam negeri lain boleh menggunakan modul pendidikan SRA di Johor, Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan pendidikan sama di negeri masing-masing. Malah tidak mustahil Kementerian Pelajaran menggerakkan usaha menggubal kurikulum standard SRA untuk diguna pakai SRA di seluruh negara.
Kementerian perlu memainkan peranan lebih aktif untuk memperkukuhkan pelaksanaan pendidikan asas agama Islam melalui SRA dan bukan setakat menawarkan tempat kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama negeri untuk bernaung di bawah kementerian itu bagi membolehkan sekolah berkenaan menerima bantuan seperti diterima sekolah bantuan kerajaan lain. Mahadzir berkata, Jawi setakat ini sudah menubuhkan 74 SRA dan 72 tadika Islam.
Hasil sokongan dan sambutan baik ibu bapa, Jawi merancang menubuhkan beberapa SRA baru bagi menampung keperluan yang semakin meningkat.
“Kehidupan di ibu kota seperti Kuala Lumpur memerlukan setiap diri anak kita dipersiapkan dengan pendidikan Islam bermula daripada asasnya. Ini akan mengimbangi mereka dengan pendidikan formal di sekolah biasa. Arus kemodenan memerlukan anak kita membina benteng iman supaya sekurang-kurangnya gejala atau kecelaruan sosial dapat dikurangkan,” katanya.
Kini 3,703 sekolah menawarkan program j-QAF membabitkan seramai 10,985 guru dan memberi manfaat kepada seramai 644,419 murid. Jumlah ini pasti dapat ditambah de-ngan lebih banyak jika semua negeri menu-buhkan SRA dan mewajibkan murid Islam belajar bermula tahun satu hingga tujuh.
Di Wilayah Persekutuan misalnya, lebih 38,000 murid belajar di SRA dengan tenaga 1,300 guru. Apabila fokus kerajaan ketika ini ialah untuk melahirkan modal insan bagi menerajui segenap pembangunan negara dan masyarakatnya, maka sistem pendidikan SRA perlu menjadi antara asas untuk melahirkan kelompok itu.
Thursday, April 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment