Monday, November 2, 2009

BAJET 2010 menunjukkan keikhlasan kerajaan meletakkan rakyat sebagai keutamaan. Bajet yang menumpukan kepada tiga strategi iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat cukup untuk membuktikan komitmen kerajaan.

Strategi meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi dan meluaskan akses kepada pendidikan melibatkan peruntukan lebih RM30 billion menerusi bajet itu.

Namun peruntukan hanya tinggal sebagai peruntukan jika apa yang kita panggil 'kecekapan' belanjawan tidak diuruskan dengan baik.

Modal insan merupakan aspek penting kerana jika kita ada sistem terbaik di dunia sekalipun tetapi jika pengurusan tidak cekap, ia tidak akan mampu diuruskan dengan baik.

Kerajaan begitu prihatin terhadap perkembangan awal kanak-kanak. Cadangan pemantapan pendidikan prasekolah dengan menjadikannya sebagai sebahagian arus perdana telah meletakkan sasaran pendidikan untuk kanak-kanak berusia 5 dan 6 tahun kepada 87 peratus berbanding 67 peratus.

Kewujudan tadika termasuk swasta ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Maka penyeliaan dan perkembangannya perlu diselaraskan demi untuk merealisasikan hasrat melahirkan modal insan berkualiti seawal peringkat prasekolah.

Kurikulum untuk prasekolah ataupun tadika perlu diselaraskan untuk semua tadika di Malaysia termasuk tadika swasta supaya perkembangan minda dan kreativiti peringkat kanak-kanak adalah seimbang.

Kita khuatir jika tidak dipantau kanak-kanak akan 'disuntik' dengan 'ketaksuban' pencapaian akademik yang tidak sesuai dengan peringkat usia mereka. Kanak-kanak tidak harus dibebani dengan tekanan untuk pencapaian akademik pada usia sebegitu.

Model tadika perpaduan merupakan model yang menepati slogan 1Malaysia yang melibatkan penyertaan pelbagai kaum. Bagi memperkasakan pendidikan prasekolah ini, kurikulum dan garis panduan yang akan dibuat perlu diikuti oleh semua tadika termasuk tadika swasta supaya agenda kerajaan untuk memastikan tidak ada seorang rakyat pun yang tercicir daripada agenda pembangunan negara.

Langkah kerajaan melahirkan program Permata dan untuk menyediakan garis panduan dan menyelaraskan kurikulum, latihan dan kelayakan tenaga pendidik di semua taman asuhan kanak-kanak adalah tepat untuk memastikan perkembangan pendidikan awal diselaraskan.

Sementara itu di peringkat sekolah rendah, menjadi trend ibu bapa menekankan aspek pencapaian akademik. Anak-anak dibebankan dengan pelbagai tuisyen.

Apa yang dibimbangkan sistem yang berorientasikan peperiksaan yang menuntut ibu bapa dan guru-guru untuk menumpukan kepada latih tubi bagi memastikan kejayaan dalam setiap peperiksaan akan mengakibatkan perkembangan anak-anak membesar dalam keadaan tekanan peperiksaan.

Bagi memperkasakan sistem pendidikan di peringkat ini, kita perlu mengenal pasti kecenderungan minat pelajar tidak hanya berlandaskan akademik. Guru-guru kelas perlu membuat "laporan" minat pelajar berdasarkan komunikasi dengan pelajar, ujian dan pemerhatian. Kad laporan tersebut boleh dijadikan asas pembentukkan modal insan setelah mengenal pasti kecenderungan pelajar.

Maklumat tersebut boleh diselaraskan dengan mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan Mykad.

Di peringkat menengah, cadangan kerajaan untuk memperkenalkan sekolah berprestasi tinggi (SBT) dengan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta dan program pengiktirafan pengetua serta guru besar merupakan langkah terbaik memperkasa sistem pendidikan.

Sistem pencapaian yang berdasarkan prestasi sememangnya dapat menggalakkan pentadbir untuk bekerja mengikut KPI yang ditetapkan. Jika kita perhatikan di peringkat menengah juga, pelajar-pelajar terpaksa berdepan dengan dua peperiksaan besar iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jika peperiksaan masih dijadikan tumpuan utama pendidikan, pihak sekolah sekali berdepan dengan kerenah pelajar yang bosan dengan rutin pembelajaran.

Bagi memperkasakan sistem pendidikan dan melahirkan modal insan cemerlang, kecenderungan minat sekali lagi perlu dikenal pasti. Kementerian Pelajaran perlu menyediakan ruang untuk pelajar-pelajar yang hilang minat untuk belajar ini dengan kemahiran yang seiring minat mereka.

Ramai yang menganggap institusi pengajian tinggi merupakan tempat yang hanya mengubah suai dan mencantikkan produk yang telah dibentuk di peringkat rendah dan menengah atau finished product.

Bagaimanapun pengajian tinggi masih merupakan peringkat terpenting kerana institusi pengajian tinggi ini adalah pentas terakhir untuk melahirkan produk berkualiti.

Ganjaran iaitu menukar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama mampu merangsang usaha melahirkan modal insan berkualiti. Begitu juga dengan ganjaran kepada 30 pelajar terbaik untuk menerima Biasiswa Nasional di universiti tersohor, pakej netbook termasuk perkhidmatan jalur lebar dengan bayaran RM50 sebulan untuk dua tahun dan diskaun 50 peratus perkhidmatan kereta api jarak jauh.

Penumpuan yang diberikan untuk Institut Kemahiran Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara pastinya mempercepatkan penghasilan modal insan berkemahiran dan berkualiti tinggi.

Pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 4 dan ke atas setaraf dengan aliran akademik membuktikan kesungguhan kerajaan untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Sementara itu, hasrat untuk memberi autonomi kepada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) juga diharap membuka lembaran baru di kalangan warga kampus untuk menjana pendapatan sendiri, meningkatkan ranking universiti dan secara tidak langsung akan membantu melahirkan modal insan yang berdaya saing.

Apabila berbincang tentang IPT kita tidak boleh lari daripada memperkatakan tentang penyelidikan. Penyelidikan dan penghasilan artikel dalam jurnal-jurnal yang mempunyai indeks yang tinggi merupakan salah satu petunjuk penting dalam pencapaian sesebuah universiti.

Peruntukan perlu ditingkatkan untuk menggalakkan pensyarah-pensyarah menjalankan penyelidikan. Mungkin sudah sampai masanya sistem penilaian berasaskan peperiksaan akhir dikaji terutamanya kepada pelajar-pelajar pra siswazah (undergraduates).

Kebanyakan IPTA masih lagi memberi penekanan kepada peperiksaan akhir. Sekali lagi kita masih berpegang kepada orientasi peperiksaan. Tidak nafikan salah pengukuran untuk pihak industri membuat asas penilaian adalah berdasarkan keputusan peperiksaan (CGPA). Namun untuk mencapai hasrat ini, sistem penggredan penilaian peperiksaan akhir mungkin boleh dikurangkan dengan lebih memberi penekanan kepada perkembangan kreativiti, percambahan daya pemikiran di luar kotak, pemikiran secara analitikal, kritis, penumpuan kepada peningkatan soft skill dan kemahiran generik.

Selain itu, komitmen kerajaan untuk meningkatkan kadar literasi dan numerasi adalah kena pada masanya. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan 2008, kadar literasi pada kelompok umur 15 tahun ke atas adalah 93.2 peratus.

Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) 2007/2008 pula menunjukkan kadar literasi rakyat Malaysia masih berada di belakang negara maju yang mempunyai kadar literasi pada tahap 99 peratus.

Kebanyakan rakyat Malaysia dikatakan hanya membaca bahan terpilih sahaja. Bagi merealisasikan gagasan 1Malaysia untuk melahirkan modal insan berkualiti, kementerian berkaitan khususnya Kementerian Pelajaran perlu menyelaras program holistik ke arah pengembangan budaya membaca.

Namun begitu, bebanan ini tidak harus diletakkan di bahu Kementerian Pelajaran sahaja. Semua pihak termasuk ibu bapa, badan bukan kerajaan, penerbit, penulis dan lain-lain perlu berganding bahu. Karya-karya yang berupaya menarik minat membaca diperlukan untuk melahirkan modal insan berkualiti.

Secara keseluruhannya, Bajet 2010 bertemakan 1Malaysia memang menepati slogan rakyat didahulukan. Penekanan kerajaan kepada aspek pendidikan membuktikan bahawa penguasaan ilmu itu adalah penting dalam melahirkan modal insan berkualiti.

Realiti hari ini kita tidak dikenali sebagai the creator sebaliknya lebih kepada end user dan follower kepada bangsa lain. Justeru itu, penting untuk kita semua bangkit untuk menguasai ilmu demi melahirkan modal insan demi masa depan.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan,

No comments: