Monday, March 31, 2008

Jumlah remaja terbabit jenayah menurun: Musa

30.03.2008 Berita Harian

Jumlah remaja yang terbabit dalam kegiatan jenayah di seluruh negara menurun 4.94 peratus pada tahun lalu, berbanding tahun sebelumnya, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata, pada 2006, seramai 3,550 remaja ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah berbanding 3,383 orang tahun lalu.

“Ini menunjukkan satu kejayaan yang memberangsangkan kepada polis dalam mengurangkan kegiatan jenayah di kalangan pelajar sekolah,” katanya dalam perutusan Ketua Polis Negara pada majlis sambutan Hari Kor Kadet Polis ke-38, peringkat negeri Selangor di Stadium Kajang, di sini hari ini.

Perutusan beliau dibacakan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Jamshah Mustapa. Musa berkata, polis akan sentiasa memastikan kes jenayah berkurangan dari semasa ke semasa dengan bertindak secara proaktif untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan dan tugas pasukan polis. Beliau berkata, pasukan Kor Kadet Polis turut diharap menjadi ’duta kecil’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membantu menyedarkan ibu bapa, rakan-rakan, jiran, sanak saudara atau anggota masyarakat mengenai pentingnya komuniti atau sikap kerjasama dengan polis dalam menangani kegiatan jenayah. - Bernama

No comments: