Wednesday, January 30, 2008

Memahami psikologi kecenderungan remaja

REMAJA merupakan generasi pelapis yang bakal mewarisi negara pada masa depan. Justeru remaja adalah aset penting bagi negara dan perlu diasuh dan dididik agar menjadi insan yang bertanggungjawab dalam memelihara kelangsungan bangsa, agama dan negara.

Dalam membincangkan isu pembangunan modal insan berkaitan golongan remaja, kita tidak dapat lari daripada menyentuh isu pemilihan kecenderungan di kalangan mereka. Kecenderungan di sini merujuk kepada minat, daya usaha dan tumpuan yang diberikan terhadap sesuatu perkara.

Apa ada dengan motor?

Namun timbul persoalan mengapa kedapatan ramai remaja memilih motosikal dan aktiviti yang berkaitan dengan motosikal sebagai minat dan kecenderungan mereka.

Pada dasarnya kegiatan bermotosikal tiada salahnya. Ia berfungsi sebagai alat pengangkutan untuk memudahkan pemiliknya bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

Penggunaan motosikal juga menjadi pilihan ramai disebabkan oleh kos untuk memiliki, menggunakan dan membaiki motosikal umumnya adalah jauh lebih murah daripada kenderaan yang lain seperti kereta.

Namun, apabila motosikal dijadikan alat untuk mempamerkan aksi tunggangan yang agresif dan berisiko tinggi maka hal ini bakal berganjak daripada fungsi asas kenderaan tersebut. Dikhuatiri pula kemudaratan akan tertimpa seperti kemalangan yang mungkin juga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

Apabila remaja dengan minat yang sama terhadap motosikal membentuk satu kumpulan sosial antara sesama mereka maka ia akan turut mencorakkan budaya, fesyen, norma dan aliran pemikiran yang seiras dalam kelompok tersebut.

Apa yang menyedihkan ialah kedapatan pembentukan tingkah laku dan pemikiran di kalangan kumpulan remaja tersebut yang tidak sejajar dengan nilai-nilai keagamaan hatta undang-undang negara.

Gejala lumba haram, pergaulan bebas, dadah, dan jenayah lain yang berlaku di kalangan mereka yang terlibat membuatkan ibu bapa masa kini semakin bimbang dengan persekitaran anak-anak mereka yang sedang membesar.

Kita mungkin boleh melontarkan persoalan asas berkenaan kecenderungan tersebut: Mengapa pula motosikal? Mengapa bukan perkara lain seperti bola sepak? Atau perkara lain?

Pertamanya perlu dijelaskan bahawa kecenderungan remaja umumnya adalah pelbagai; terdapat mereka yang cenderung dalam sukan, keilmuan dan sebagainya.
Namun apa yang menjadikan kita melihat aktiviti bermotosikal sebagai satu fenomena yang melanda golongan remaja adalah kerana kekerapan kita melihat kelompok mereka di mana-mana. Dengan deruman enjin motosikal serta aksi tunggangan yang janggal daripada biasa membuatkan kita menyedari kehadiran mereka di sekitar kita.

Keduanya, hasil pembangunan ekonomi yang dinikmati telah meningkatkan kuasa beli rakyat di negara ini. Motosikal contohnya telah menjadi satu kenderaan yang mampu dimiliki oleh hampir setiap keluarga, apatah lagi bagi mereka yang masih bujang.

Ketiga, kebanyakan remaja memang menggunakan motosikal sebagai alat pengangkutan semata-mata. Namun terdapat sesetengah remaja yang menunggang atau memiliki motosikal mempunyai rasa kebanggaan terhadap kenderaan yang dimiliki. Atau mungkin ada yang teruja dengan kemahiran tersendiri dalam memandu motosikal.

Sebagai remaja, perasaan ingin dihargai dan diterima oleh rakan sebaya adalah sesuatu yang normal. Justeru mereka berasa selesa apabila bersama dengan rakan-rakan dengan minat yang sama. Malah ada yang seronok bersaing sesama sendiri dalam menunjukkan kehebatan pemanduan masing-masing.

Aksi motor

Sesetengah remaja pula, mungkin beranggapan bahawa beraksi dengan motosikal adalah satu-satunya cara untuk melepaskan tekanan perasaan atau beriadah setelah penat bekerja seharian ataupun mengikuti pembelajaran di sekolah.

Dalam situasi ini, kecenderungan remaja tersebut terbentuk melalui persekitarannya yang menyediakan pilihan terhad untuknya beriadah. Sekiranya ada gelanggang atau padang permainan di kawasan tempat tinggal remaja maka remaja tersebut mempunyai pilihan untuk bersukan berbanding aktiviti lain.

Hal ini berbalik pula kepada keadaan persekitaran kawasan perumahan kita dewasa ini yang semakin ketandusan padang permainan dek ditelan projek pembangunan hartanah.
Justeru kita sememangnya mengharapkan pihak berkuasa tempatan dan pemaju hartanah dalam merencana pembangunan supaya tidak mengabaikan keperluan beriadah masyarakat setempat.

Kesimpulan

Remaja sebenarnya adalah golongan yang masih tercari-cari identiti, minat dan potensi diri. Justeru mereka memerlukan medium untuk mencurahkan sepenuh tenaga dan perhatian terhadap perkara yang difikirkan sebagai bersesuaian dengan kecenderungan mereka.

Sekiranya kita dapat menyediakan galakan, bimbingan, peluang dan persekitaran yang kondusif untuk remaja mencurahkan masa dan tenaga terhadap bakat dan kecenderungan yang dimiliki, maka usaha kita mampu mengurangkan peratusan remaja yang terjebak dengan kegiatan yang tidak diingini.

No comments: