Monday, January 14, 2008

Pemantauan ibu bapa elak anak jadi mangsa pengganas siber

MEMANG kecanggihan teknologi maklumat (IT) memberi kemudahan luar biasa kepada masyarakat dunia hari ini. Kehadiran internet memanfaat semua golongan masyarakat tanpa mengira darjat. Tetapi pada masa sama, internet boleh memusnahkan kehidupan, mendatangkan kerugian kepada perniagaan dan boleh disalahgunakan sehingga mengaibkan seseorang. Malah, generasi internet yang sebahagian besarnya remaja dan kanak-kanak mempunyai banyak pilihan untuk berhubung, bergaul serta berkomunikasi. Namun, ia sebenarnya boleh mengundang masalah apabila wujud pihak yang mahu mengambil kesempatan menganiaya mereka.

Laporan akhbar ini semalam menyebut sejumlah 46 peratus atau hampir enam juta daripada kira-kira 13 juta pengguna internet di negara ini terdedah kepada ancaman dan serangan pembuli siber kerana terlalu banyak mendedahkan maklumat peribadi mereka di laman web.
Sebahagian besar daripada angka itu membabitkan kanak-kanak dan remaja, kumpulan yang disifatkan paling berisiko menghadapi ancaman pembuli siber, berbanding golongan dewasa yang lebih matang.

Buli siber ialah sebarang bentuk ancaman dan serangan yang boleh dikenakan terhadap seseorang pengguna internet melalui pesanan teks, gambar menerusi e-mel, blog, telefon bimbit serta rangkaian web bagi mengganggu, memalukan dan mengugut. Ia boleh dilakukan menerusi internet seperti menyebarkan khabar angin, menghantar imej yang mengaibkan secara berterusan atau dengan mengekori, mengancam atau memeras ugut seseorang individu menggunakan maklumat yang diperoleh daripada zon siber. Sebenarnya, jika kita boleh mengesan mereka yang melakukan jenayah siber ini seperti kegiatan mencuri maklumat, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun berserta sebatan dan boleh dikenakan denda. Mengikut Seksyen 5, Akta Jenayah Komputer 1997 pula pencuri maklumat boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

Tindakan mendedahkan maklumat peribadi yang ada kalanya sulit, sama ada melalui internet, laman web sendiri atau blog, boleh digunakan pihak tertentu sebagai bahan dan alat untuk membuli serta memeras ugut seseorang. Bayangkan visual lucah VCD membabitkan seorang menteri baru-baru ini, sudah berada di Sarawak sehari selepas pendedahan mengenai video itu.
Penyebaran itu disyaki dilakukan melalui internet dengan menghantar serta memuat turun visualnya sebelum disalin semula kepada cakera padat.

Pasangan kekasih atau suami isteri perlu berhati-hati menghantar gambar intim mereka melalui internet kerana visual itu dengan mudah boleh dikesan serta dimuat turun atau disalin semula, selepas berada di ruang siber. Memang wujud sistem canggih penyelesaian keselamatan kepada internet, tetapi kebanyakannya bagi membendung ancaman virus. Tetapi ia tidak boleh menyekat 'pengganas siber'.

Pokoknya ibu bapa perlu sentiasa memantau pergerakan anak mereka dengan mengambil tahu laman web yang dilayari serta memastikan mereka tidak mendedahkan maklumat peribadi termasuk memberikan alamat rumah, nombor telefon kepada rakan internet. Golongan remaja ini amat seronok melayari laman sosial seperti Friendster, MySpace, Xanga atau Facebook dan sesetengahnya berkongsi profil peribadi selain gambar tanpa menyedari maklumat itu boleh dipintas dan direkod pihak tertentu.

No comments: