Tuesday, February 19, 2008

Ibu bapa kena rasional nilai hukuman guru

SAYA tertarik dengan aduan Bapa Prihatin, Taiping Perak, dalam ruangan ini, baru-baru ini mengenai tindakan seorang guru mencubit dada anaknya hingga lebam. Memang tidak dinafikan, tindakan seorang guru mencederakan 'fizikal' tidak sepatutnya berlaku, tetapi sebagai ibu bapa, seharusnya memandang perkara ini secara rasional.

Ketika bersekolah rendah dulu, saya juga pernah dicubit di perut oleh guru Bahasa Inggeris, dirotan di tapak tangan oleh guru Matematik, pusing padang waktu panas terik. Semua itu, saya tidak pernah beritahu kepada ibu bapa. Sebabnya, jika saya beritahu saya pula akan dimarahi. Ibu bapa saya tidak akan menyalahkan cikgu. Semua kesalahan 'remeh' sepatutnya tidak perlu diperbesarkan jika ibu bapa prihatin terhadap keperluan sekolah anak. Berapa ramai ibu bapa sekarang yang meluangkan masa melihat anak di rumah belajar? Berapa ramai ibu bapa mengambil tahu buku apa yang perlu dibawa anak ke sekolah esoknya?

Berapa ramai ibu bapa yang mengambil tahu hal sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), apabila anak memberikan surat jemputan daripada pihak sekolah? Ibu bapa sekarang hanya tahu 'melenting' dan 'menyaman' saja jika anak dirotan, dipukul dan disakiti. Walhal, pernah ibu bapa itu sendiri berbincang secara terus dengan pihak sekolah sebelum membuat aduan di media.

Saya tidak terfikir seorang guru itu sanggup 'membenci' dan 'memarahi' anak muridnya jika kesalahan itu datang daripada sikap kita sendiri. Pembelajaran pertama adalah bermula daripada didikan ibu bapa itu sendiri. Walaupun hebat dan tinggi status ibu bapa itu, tidak bermakna jika 'hanya lepas tangan' .

Walaupun siapa kita, jangan sesekali kita lupa jasa guru. Ternyata profesionalisme guru zaman kini tidak boleh disamakan dengan zaman kegemilangan tokoh terdahulu. Tetapi perlu diingat, guru terbaik dalam diri seorang anak itu adalah bermula daripada didikan ibu bapa sendiri. Guru hanya sebagai pemudah cara dan pembimbing yang mampu melahirkan generasi terbaik, sistematik dan universal.

Sebagai ibu bapa haruslah berfikiran matang dan positif dengan setiap tindakan dan hukuman. Adakalanya hukuman yang sedikit 'keras' lebih menyedarkan murid agar tidak mengulangi kesalahan. Jangan kerana terlalu percaya dengan kata anak, sehingga sanggup menyalahkan orang lain.

Keseimbangan itu adalah aset paling penting. Anak yang cemerlang bermula dengan ibu bapa gemilang dan disokong dengan guru dan masyarakat yang terbilang.

No comments: