KERAJAAN mengambil langkah serius melarang membakar mercun sejak sekian lama. Didapati tahun ini pihak berkuasa melakukan pemantauan dan penguat kuasa lebih baik berbanding tahun lalu. Kita dapat lihat keberkesanan kerjasama di antara jabatan kastam dan polis dalam memerangi penyeludupan dan pembakaran mercun, namun rondaan polis di kawasan kediaman didapati kurang berkesan. Ramai individu yang tidak mematuhi undang-undang. Pengguna patut sedar kesan pembakaran mercun kepada semua. Ada beberapa kes kematian yang dilaporkan di India akibat keracunan asap mercun.
Kita tidak perlu menunggu sehingga perkara sebegini berlaku. Kita juga patut mengingati orang ramai bahaya akibat sehingga mengorbankan nyawa. Mercun sememangnya menyebabkan pencemaran udara dan bunyi serta berbahaya kepada warga tua, kanak-kanak dan individu yang mempunyai masalah pernafasan. Letupan mercun mengeluarkan partikel halus yang mudah memasuki paru-paru, ia berbahaya kepada mereka yang sakit dan orang sihat.
Asap toksik yang dibebaskan akibat letupan mercun boleh memberi kesan buruk seperti gangguan jantung, serangan asma, alergi dan penyakit berkaitan pernafasan seperti, bronkitis, empisema, penyakit gangguan pulmonari kronik, laringitis dan pneumonia. Kesan buruk ini disebabkan kehadiran logam toksik yang berbahaya kepada manusia dan alam sekitar, antaranya logam mangan, kadmium, plumbum, zink, natrium, magnesium dan kalium. Logam ini hanya boleh wujud dalam badan manusia dalam kandungan yang rendah. Menyedut bahan ini melalui asap mercun yang boleh memasuki rongga pernafasan dan badan akan menambahkan kepekatan logam ini dalam darah.
Bagi menyelesaikan masalah ini, kerajaan patut menjadi pemimpin melalui teladan. Semua perayaan kebangsaan tidak perlu diadakan pertunjukan bunga api. Tiada kelulusan patut diberikan kepada mana mana pihak, sebagai ganti, pertunjukan laser juga dapat menghiburkan. Tindakan serbuan oleh pihak kastam dan polis mesti dimulakan beberapa bulan sebelum musim perayaan, laluan penyeludupan perlu disekat. Kita tidak mahu keseronokan seketika yang dinikmati, segolongan masyarakat, menyebabkan orang lain merana.
Sunday, February 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment