MAJORITI ibu bapa semakin peka dengan keselamatan anak ekoran peristiwa kehilangan adik Sharlinie Mohd Nashar, 5, yang sehingga kini belum ditemui. Namun, bagaimana dengan nasib anak yang 'hilang' kerana melayari internet di kafe siber?
Adakah iklan sebuah syarikat telekomunikasi yang berbunyi 'kanak-kanak yang melayari internet lebih terbuka mindanya' masih bermakna dalam erti kata sebenar? Jenguklah ke mana-mana kafe siber berhampiran, tidak kira di kawasan bandar, pekan atau kampung. Kebanyakan pengunjung adalah kanak-kanak dan remaja yang leka bermain pelbagai jenis permainan komputer.
Memang ada yang datang kerana mahu mencari maklumat demi menyempurnakan tugasan sekolah tetapi bilangannya boleh dikira dengan jari. Adakah ibu bapa mengetahui perbuatan anak membuang masa di kafe siber? Bagaimana dengan jadual persekolahan dan masa mengulangkaji pelajaran? Menyedari hakikat inilah wajar ibu bapa melakukan pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa ke kafe siber yang kerap dikunjungi mereka.
Lihat bagaimana riuhnya mereka di kafe siber membuang masa dan wang. Bukan sesuatu menghairankan lagi apabila didapati kanak-kanak seawal tujuh tahun begitu petah berkata-kata. Malangnya, di kafe siber, bahasa yang diucapkan mereka sarat dicemari kata kesat dan maki hamun! Keadaan ini dapat dilihat dengan mudah apabila mereka sedang bersaing dalam permainan komputer online. Malah, segelintir daripada mereka masih di bangku sekolah rendah didapati tekun berbalas chatting di laman sosial seperti Myspace.
Mengejutkan apabila kanak-kanak lelaki yang baru di Tahun Tiga boleh berkenalan dengan ramai lelaki remaja dan dewasa yang kecenderungan seksual mereka meragukan. Tidak kurang juga yang kelihatan mahir berbual secara maya dengan paparan imej diri berkamera.
Bagaimana pula dengan komputer di rumah yang memiliki akses internet? Adakah ia lebih selamat daripada membiarkan anak berinternet di kafe siber? Komputer di rumah yang siap dilengkapi internet juga mengundang lebih banyak keburukan, lebih-lebih lagi jika diletakkan dalam bilik anak.
Tidakkah cemburu ibu bapa jika anak yang diketahui sedang menghadap komputer berjam-jam masih tidak keluar dari bilik? Apakah ibu bapa menyiasat laman yang mereka disinggah? Oleh itu, lebih baik komputer tetap atau komputer mudah alih disyaratkan diletak di ruang terbuka seperti di ruang tamu, bukan dalam bilik.
Ibu bapa zaman sekarang juga perlu sedikit sebanyak mengetahui aspek teknikal komputer dan perkembangan pantas dunia teknologi maklumat bagi mengesan sebarang penyalahgunaan internet. Ia penting agar anak tidak terlajak bertamu di laman yang tidak sepatutnya.
Malah, pendedahan tanpa batasan anak terhadap internet meningkatkan risiko terbabit sebagai mangsa buli siber. Mereka cenderung mendedahkan butiran peribadi diri dan keluarga.
Akibatnya, tidak mustahil keluarga terdedah kepada risiko pelbagai bentuk jenayah siber yang kadang-kadang kita tidak pernah jangka. Kecurian maklumat dan kebocoran peribadi begitu mudah dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Oleh sebab, kanak-kanak dan remaja memerlukan pengawasan ibu bapa atau anggota keluarga yang lebih dewasa, iaitu abang dan kakak yang boleh diharapkan. Budaya melayari internet pada peringkat umur yang mentah ini perlu sentiasa diperhatikan dari semasa ke semasa.
Jika tidak, tentu hasrat mahu membentuk anak menjadi insan yang memiliki personaliti unggul dan mentaliti kelas pertama sukar dicapai. Tidak terkecuali juga tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kelulusan lesen untuk premis kafe internet baru perlu dikawal. Paling penting, operasinya dihadkan di kawasan perniagaan, bukan di kawasan perumahan. Tentu sukar ibu bapa mengawal anak atau pelajar untuk mengekang hobi membuang masa di kafe internet sekiranya tempat itu hanya beberapa langkah dari rumah.
Usah biarkan generasi pelapis bangsa kita dilalaikan apatah lagi dirosakkan oleh kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi. Hanya anak yang tidak hilang atau hanyut dalam dunia internet akan lebih terbuka mindanya.
Wednesday, February 6, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment