Sunday, February 10, 2008

Sikap pemandu penyumbang angka korban

SETIAP tahun menjelang musim perayaan, paparan kemalangan ngeri jalan raya di akhbar dan kaca televisyen menjadi berita menyedihkan. Kita begitu insaf melihat nyawa rakyat Malaysia begitu mudah sekali terkorban di jalan raya. Menjelang musim perayaan kaum lain juga seperti perayaan Tahun Baru China dan Deepavali, orang Melayu turut mengambil peluang daripada cuti panjang untuk balik kampung. Semangat balik kampung sudah menjadi tradisi kepada orang Melayu. Setiap tahun juga menjelang perayaan pelbagai Ops Sikap dilancarkan. Namun ceritanya masih sama. Kemalangan yang mengorbankan nyawa terus berlaku dan matlamat mengurangkan angka korban di jalan raya belum tercapai. Kita lihat sendiri senario yang berlaku pada tahun sebelum ini menjelang perayaan berulang lagi tanpa kesudahannya. Sikap pemandu yang memandu kenderaan secara gopoh, gelojoh dan kurang sabar menjadi punca utama berlaku kemalangan jalan raya.
Sanggupkah kita terus melihat manusia terus terkorban dan terbujur kaku di jalan raya. Kita sedih apabila yang terkorban itu ramai daripada anak muda Melayu yang menjadi harapan bangsa dan negara pada masa depan. Kita lebih rela sekiranya mereka terkorban menegakkan agama, bangsa dan negara yang tercinta ini. Kita sudah dengar pelbagai cadangan dan kaedah untuk mengurangkan korban jalan raya. Jika kita senaraikan satu persatu tentulah amat panjang, tetapi keberkesanannya sedikit. Sebenarnya semua cadangan itu ternyata gagal untuk mendidik dan membentuk mereka menjadi pemandu berhemah di jalan raya. Kita perlu mengakui bahawa punca utama kemalangan jalan raya ialah faktor kesilapan manusia itu sendiri. Selagi mereka tidak berubah sikap kepada pemanduan berhemah di jalan raya, selagi itulah kemalangan yang mengorbankan nyawa terus berlaku tanpa mengira tempat sama ada di kawasan yang sememangnya kerap berlaku kemalangan atau berlaku di kawasan yang dikategorikan selamat. Ini bermakna apabila ada manusia itu memegang stering kenderaan, kemalangan boleh berlaku di mana-mana.
Perubahan sikap di kalangan pengguna jalan raya itu sendiri amat penting. Mereka perlu mematuhi had laju yang ditetapkan, tidak membawa penumpang berlebihan, mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan. Sematkan sifat sabar, bersopan santun serta saling hormat menghormati dikalangan pemandu. Semasa memandu berfikirlah secara rasional dan tidak hilang pertimbangan. Jangan jadikan jalan raya sebagai medan perlumbaan untuk cepat sampai ke destinasi terakhir. Kegembiraan yang sepatutnya disambut bersama bertukar menjadi kesedihan dan tangisan air mata pada musim perayaan. Setiap pemandu terutama golongan muda yang bersikap emosi, gelojoh dan kurang sabar perlu insaf bahawa kita ada isteri, anak, ibu bapa yang masih memerlukan kita untuk mereka terus menjalani hidup. Kita perlu sedar dan bertawakal bahawa setiap apa yang kita lakukan adalah kerana Allah. Mohonlah doa kepada Allah agar perjalanan kita ke destinasi sentiasa di dalam perlindungan-Nya dan di beri keselamatan. Sikap kerjasama kepada usaha kerajaan yang menggerakkan pelbagai kempen juga perlu ada pada setiap pengguna jalan raya. Berilah kerjasama sewajarnya agar kita mendapat manfaatnya. Terjemahkanlah sambutan kerjasama itu dengan mengubah corak pemanduan selamat dan berhemah di jalan raya. Orang lain hanya memberi panduan dan ingatan, tetapi kita sendiri yang menentukan keadaan. Kitalah yang menentukan sama ada kita menjadi pemandu yang berhemah atau pemandu yang rakus dan cuai.
Pengumuman Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy yang menyatakan bahawa kurikulum sekolah memandu akan dikaji semula melegakan kita semua. Kajian itu dilaksanakan beberapa pihak termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan. Ia dijangka membabitkan beberapa pembaharuan dan dijadualkan siap tahun ini. Cuma kita berharap kementerian tidak mengambil masa yang begitu lama dalam merombak kurikulum sekolah memandu. Lebih-lebih lagi nyawa rakyat Malaysia makin murah di jalan raya.

No comments: