PENJARA sebagai pusat latihan jenayah? Bunyinya seakan pelik tetapi dalam maksud tersirat ia adalah satu realiti yang tanpa disedari berlaku di penjara sama ada disedari atau tanpa sedar terus menular mencipta lebih ramai penjenayah berstatus pakar. Memang semua sedia maklum bahawa penjara adalah pusat pemulihan dan tempat menjatuhkan hukuman kepada pesalah yang didapati bersalah oleh mahkamah dan objektif utama untuk memulihkan. Namun, daripada hasil temu bual dengan beberapa penagih yang pernah beberapa kali keluar masuk penjara, didapati ada benarnya dakwaan di atas bahawa penjara mengajar mereka menjadi lebih pakar melakukan pelbagai jenayah, sekurang-kurangnya sebagai kaedah mencari duit untuk mendapatkan bekalan dadah.
Mohd Shukri Abdul Halim (nama samaran) yang kini sedang menjalani proses pemulihan di Rumah Pengasih Kuala Lumpur, berkata pengalamannya dipenjarakan sebanyak tiga kali tidak banyak mengubah cara hidupnya, malah menjadikan dirinya lebih kerap melakukan jenayah.
Dia yang dipenjarakan atas pelbagai kesalahan termasuk penagihan dadah, samun dan bergaduh serta berkali-kali ditahan di lokap atas kesalahan yang sama menyifatkan penjara hanya dapat memberikannya keinsafan sementara dan lebih banyak menyakitkan fizikalnya daripada memulihkan rohaninya.
“Dalam penjara, saya tak rasa yang saya belajar apa-apa. Apa yang pasti saya lebih banyak belajar perkara yang menjadikan saya lebih jahat. Daripada tidak tahu kepada tahu. Malah, bahan terlarang pun masih mudah diperoleh di situ.
“Apabila banyak benda baru saya belajar, ia boleh dipraktikkan di luar dan sekali gus menyebabkan saya terbabit dengan pelbagai jenis jenayah baru daripada hanya menagih dadah sebelum masuk ke penjara. “Berbeza apabila saya ditempatkan di Pengasih. Di sini, saya belajar memperbaiki masalah rohani dan mental. Belajar mengawal emosi supaya minda saya dapat menolak ketagihan dadah secara berterusan,” katanya.
Katanya, selama dipenjarakan sebelum ini, dia hanya merasai kesakitan fizikal yang berbentuk sementara dan mewujudkan perasaan dendam dalam dirinya, bukan keinsafan. Penagih wanita, Rosbaiti Rahimin (nama samaran), yang pernah merasai pengalaman dipenjarakan di Penjara Wanita Pangkalan Chepa, berkata pergaulannya dengan orang lebih dewasa dan rakyat negara luar dalam penjara yang sama membolehkannya belajar banyak perkara negatif.
“Di penjara, saya dapat kenal ‘tokan’ (pembekal) besar. Saya bangga dapat berkenalan dengan mereka dan belajar macam-macam mengenai dadah. “Apabila dapat peluang berkenalan dengan pelbagai jenis penjenayah, skil jenayah saya juga semakin hebat dan banyak benda baru yang saya tidak tahu selama ini boleh dipraktikkan di luar penjara. Mencuri menjadi lebih mudah.
“Memang di penjara hukumannya memeritkan dan buat saya rasa serik tetapi tak pernah rasa insaf. Yang ada hanya rasa dendam apatah lagi apabila banyak perkataan kasar digunakan oleh warden di penjara. Kekerasan sebegitu yang saya tidak boleh terima,” katanya.
Pengurus Program Rumah Pengasih, Suhaimi Ahmad, yang mempunyai pengalaman dipenjarakan sebanyak empat kali selain menagih dadah selama 22 tahun, berkata pergaulan dengan pelbagai jenis penjenayah di penjara menjadikan dirinya lebih ke arah negatif. Dia yang sudah 13 tahun berkhidmat dengan Rumah Pengasih, berkata kebanyakan bekas banduan atau penagih jarang dapat pulih sepenuhnya.
Monday, March 31, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment