PUAN, agaknya bercinta ini sangat indah hingga isteri orang pun mabuk bercinta. Suami saya digoda oleh isteri orang di pejabatnya. Bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi, jadi suami saya pun sama naik. Selalu saya dapati suami menyendiri dengan telefon bimbitnya dan tergelak-gelak dan bersembang-sembang manja. Saya buat siasatan dan mendapati kekasih hatinya isteri orang yang juga satu pejabat. Perkara ini sudah berlaku agak lama dan saya sudah habis kata-kata untuk menegur. Biasalah, orang bercinta kalau ditegur, kita pula yang makan sepak terajang. Saya kasihankan diri saya dan anak-anak. Saya masih mahu bersama suami dan memaafkannya, tetapi dia belum mahu berpatah semula ke pangkuan saya. Apa yang boleh saya buat waktu begini?
Jawapan:
PUAN yang dikasihi, bersyukur kerana puan mampu berkongsi masalah dengan saya. Apa yang puan alami sekarang adalah cabaran ketika dalam perkahwinan pada zaman yang dikatakan moden tapi cara hidupnya hampir sama dengan tamadun hutan rimba, orang sudah tak kira isteri orang atau suami orang, asal saja suka sama suka. Mereka hilang pertimbangan, yang haram jadi halal, hilang malu dengan manusia dan langsung tidak berasa malu dan takut pada Tuhan walaupun mereka masih menikmati rezeki dari Tuhan.
Mereka berasa hidup ini mereka yang tentukan bukan Tuhan, sebab itu mereka bermaharajalela. Keadaan ini berpunca daripada sikap hilangnya kehangatan dalam hubungan perkahwinan, lalu mencari kehangatan di luar rumah. Pudarnya kemesraan dalam perkahwinan berpunca daripada pelbagai sebab. Ada yang berpunca daripada wanita atau pihak lelaki.
Pada kebiasaannya perkara ini terjadi bermula daripada ada niat dan kesempatan. Kadangkala tidak ada niat tapi ada kesempatan. Misalnya ada wanita yang kering cinta dengan suami sendiri lalu menagih cinta daripada suami orang yang dekat dengannya, yang pada mulanya dijadikan tempat berkongsi masalah, kemudian tempat menagih simpati dan akhirnya tempat meneguk kasih. Lalu menjadi pasangan tempat membina cinta baru tanpa memikirkan status pasangan itu sama ada sebagai suami atau isteri orang.
Dalam keadaan puan, suami puan yang sedang bercinta. Ini bermakna cinta pada puan sudah berubah menjadi pasangan sepi atas ikatan pernikahan dan tanggungjawab pada anak saja. Bermakna puan dan suami terikat oleh pernikahan dan simpati kepada anak. Sebab itu suami tidak lagi berusaha untuk menjaga dan menghormati perasaan puan sebagai isteri yang sah, malah sanggup memberi layanan kasar pada puan bila puan terlalu campur tangan dalam hal perhubungannya.
Keadaan itu juga memberitahu puan bahawa cintanya pada puan sudah menipis malah ada ketikanya hilang terus. Maka puan diharap sekadar menjadi pelengkap keluarga daripada kaca mata masyarakat dan penjaga anak-anaknya. Suami yang berada dalam keadaan demikian biasanya sangat cepat marah dan keras dengan isteri malah dengan anak. Ada juga yang bersikap langsung tidak ambil kisah dalam hal ehwal keluarga. Puan masih bernasib baik belum dikasari di depan anak.
Apa yang patut puan lakukan ialah membangunkan kekuatan dalaman diri puan sendiri sebagai seorang wanita yang boleh berdikari, terutama dari segi emosi, pemikiran dan perlakuan. Jangan penuhkan fikiran dan emosi puan soal hubungan suami dengan wanita itu lagi. Gantikan fikiran dan perasaan puan dengan hal yang berkaitan dengan cara untuk menceriakan diri sendiri, merawat hati sendiri dan membangun emosi yang luka itu supaya puan dapat meneruskan kehidupan bersama anak. Bina kegembiraan puan dengan anak. Lupakan hal dia bersama dengan wanita itu. Jangan lagi mengintip perbualannya, menyemak khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbitnya atau bertanya tentang hal itu dengannya. Di samping itu jalankan juga tugas asasi puan sebagai isteri secara ikhlas.
Monday, March 17, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment