Monday, March 17, 2008

Pengakuan gadis kaki buli


KAJIAN terhadap 2,528 pelajar di 29 sekolah rendah di Perak mendapati 53 peratus pernah menjadi pembuli dan 74 peratus pernah dibuli sekurang-kurangnya satu atau dua kali sepanjang empat minggu dalam tempoh kajian. Dalam kajian lain ke atas 1,624 pelajar di 18 sekolah menengah di Kedah dan Perlis pula mendapati, 93.5 peratus pernah dibuli secara tidak langsung, manakala 68 peratus mendakwa mereka dibuli secara langsung. Topik buli menjadi tumpuan Keluarga Di 9 (KD9) menerusi Dua Generasi pada 27 Februari 2008 kerana merasakan masalah ini tidak lagi boleh dipandang ringan.
Kes Mohamad Afiq Qusyairi, pelajar Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang, yang mungkin lumpuh sepanjang hayat dipercayai akibat dipijak belakangnya dengan kasut polis kadet serta dihentak badannya ke almari oleh pelajar tingkatan lima dan tiga sekolah pada Jun, 2005, antara kes serius yang dilaporkan dan membuka mata ramai pihak agar masalah ini perlu dipantau dan diatasi segera.
Persoalannya ada pembuli? Mengapa ia bagaikan meresap sebagai budaya di sekolah? Apakah hukuman yang dikenakan seperti rotan atau buang sekolah tidak mampu menginsafkan pembuli ini?

KD9 tabik kepada seorang gadis, Che Siti Wan Kembang Abu,19, yang sanggup tampil berkongsi pengalamannya sebagai pembuli. Menurut remaja ini yang lebih senang dipanggil Wan, ketika kanak-kanak dia tidak pernah terfikir mengenai kemungkinan suatu masa akan bergelar `pembuli'. Tetapi zaman persekolahan agak kejam untuknya.

"Nama saya sering dijadikan bahan gurauan dan ejekan teman menyebabkan saya malu dan tidak selesa. Disebabkan sering bertukar sekolah, saya kerap menjadi pelajar baru dan masalah diejek tidak pernah terhenti. Sebab itu, apabila menjadi pelajar senior, saya pula membuli pelajar lain. Puas hati kerana dapat membuli, biar mereka rasa seperti apa yang saya rasakan sebelum ini," katanya. Akuinya, walaupun dia pembuli tetapi tidak ke tahap membuli secara fizikal.
"Selalunya saya mengejek dan memalukan mereka. Pernah mangsa mengadu pada guru tetapi nasib baik tiada tindakan dikenakan," ujarnya selamba. Tingkah laku pembuli seperti Siti Wan Kembang harus dikaji oleh pihak berwajib yang mahu mencari penyelesaian kepada isu ini, kata Benjy. Ini antara punca utama yang mungkin ibu bapa dan guru terlepas pandang. Pendekatan lazim, katanya, adalah menghukum pelaku tanpa mengkaji punca. Seperti kata seorang pemanggil, Halimatun Saadiah Ismail, adiknya pernah dibuli kerana berbadan gempal. Hingga kini walau pun telah berumur 20an adiknya masih trauma dan hilang keyakinan diri walaupun sudah bekerja.

Buli mental lebih menyakitkan Perkara ini diakui kaunselor Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Zubaidah Ahmad, yang turut diundang ke set KD9. Tambah beliau, ada beberapa sebab mengapa seseorang itu menjadi pembuli. Antaranya, mereka ini pernah dibuli atau membuli dianggap sesuatu yang menyeronokkan. Malah, pembuli sering dikaitkan dengan mereka yang tidak berjaya di dalam pelajaran, nakal, tidak berdisiplin juga disebabkan masalah keluarga seperti perceraian ibu bapa. Kebanyakan pembuli melakukan kegiatan mereka secara berkumpulan dan berulang kali. Selain buli secara fizikal seperti menumbuk, menendang dan sebagainya, buli secara mental lebih membahayakan. "Seperti kes Wan, yang dibuli secara mental, perasaan sakit hati, tertekan dan malu, kesudahannya dia juga turut menjadi pembuli demi membalas dendam. Senario begini yang perlu kita tangani," tegas Zubaidah. Jika lelaki membuli mungkin dianggap biasa tetapi perempuan membuli bukannya satu kelaziman. Namun, tidak dinafikan, kes perempuan membuli kian meningkat. "Agak menjengkelkan jika wanita membuli kerana wanita disifatkan sebagai seorang yang lemah-lembut dan kewanitaan. Biarlah kita kekalkan adat dan sifat ketimuran kerana percayalah jika kita bertindak samseng, bukan saja kita tidak dihormati malah kita hanya akan ditertawakan," katanya. Menurut Zubaidah lagi, tindakan buang sekolah bukannya penyelesaian terbaik kerana pembuli bukan saja disisihkan malah sikap membuli mungkin tidak terbendung. "Membiarkan mereka tanpa dipandu mungkin boleh menyebabkan masalah yang lebih serius seperti melakukan jenayah rompak, rogol dan tindakan agresif lain," katanya. Apa yang penting, setiap mangsa buli jangan berdiam diri dan jika bersekolah laporkan kepada guru kaunseling. Masalah pembuli dan mangsa boleh diselesaikan cara baik jika kena caranya. Peranan ibu bapa juga penting. Pantau anak-anak dan ambil tahu apakah kegiatan harian mereka. Apapun, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal impian saja. Hal ini kerana pelajar adalah asset negara yang penting dan akan menerajui negara pada masa depan. Bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua pihak haruslah sehati sejiwa di dalam menangani masalah buli ini. Semoga berkat usaha, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada dunia. KD9 adalah rancangan bual bicara yang memaparkan isu kekeluargaan dan kemasyarakatan meliputi empat slot iaitu Siapa Kata (Isnin), Jiwa Raga (Selasa), Dua Generasi (Rabu) dan Kongsi Rasa Kongsi Rahsia (Khamis), disiarkan secara langsung setiap jam 1 hingga 2 petang.


Hotline Aduan Buli Kementerian Pelajaran 1-800-88-4774 / SMS: 33ADU @ 33238

No comments: